Subsidi gas: Peniaga keliru dengan penjelasan kerajaan

Mohamed Sukri Omar
- Advertisement -

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Selangor mengecam sekeras-kerasnya tindakan kerajaan membebankan rakyat dengan dasar tidak mesra pengguna berhubung larangan penggunaan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi oleh peniaga kecil.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar, berkata kerajaan gagal memberikan penjelasan tuntas sehingga ke hari ini, sebaliknya yang lahir adalah kekeliruan demi kekeliruan.

“Sekejap dilarang, sekejap dibenarkan. Sekejap perlu permit, sekejap disalahkan penguatkuasa. Kerajaan seolah-olah tidak tahu apa yang mereka sendiri laksanakan. Jelas, ini bukan isu teknikal semata-mata.

“Ini adalah soal kegagalan dasar dan penganiayaan terhadap rakyat marhaen terutama pengusaha kecil, peniaga warung, gerai makan dan penjaja yang sudah sedia terhimpit dengan kos sara hidup,” katanya.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam berkata, kerajaan tidak seharusnya menjadikan tong gas bersubsidi sebagai medan eksperimen ekonomi.

“Apa yang diperlukan ialah keberanian politik untuk mempertahankan kebajikan rakyat, bukan melempar kesalahan secara sembarangan,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan bahawa tiada sebarang justifikasi munasabah untuk menyekat penggunaan tong gas bersubsidi oleh peniaga kecil.

“Kerajaan seharusnya membela rakyat, bukan menindas dengan dasar yang tidak berperikemanusiaan, serta jangan berlindung di sebalik alasan teknikal dan penguatkuasaan sedangkan dasar itu sendiri bercanggah dengan prinsip keadilan sosial,” katanya.

Justeru, beliau memberi amaran bahawa jika kerajaan terus berdegil, Pemuda PAS Selangor tidak akan teragak-agak untuk melancarkan kempen kesedaran dan mendesak penarikan semula dasar ini secara terbuka.

“Kami bersama rakyat dan kami tidak akan berdiam diri apabila rakyat terus dihimpit dan dizalimi atas nama penstrukturan subsidi yang tidak berjiwa. Kembalikan tong gas bersubsidi kepada rakyat. Jangan sakiti peniaga kecil.

“Jangan zalimi rakyat yang sudah cukup susah,” katanya memberi reaksi kepada kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr Fuziah Salleh bahawa peniaga kecil masih boleh menggunakan tong LPG bersubsidi yang berwarna hijau.

Namun kata Fuziah juga, peniaga kecil itu disyaratkan tidak boleh menggunakan lebih daripada tiga tong LPG bersubsidi seberat 14 kilogram (kg) pada satu masa dengan jumlah maksimum berat silinder gas adalah 42kg.

Sejak 1 Mei lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan pelaksanaan Ops Gasak bagi mengekang ketirisan serta penyelewengan tong LPG bersubsidi khususnya membabitkan industri berskala sederhana dan besar.

Selain itu, ia bertujuan membanteras penyelewengan melalui aktiviti haram decanting iaitu pemindahan LPG dari tong bersubsidi kepada tong tidak bersubsidi untuk jualan komersial dan penyeludupan.

Namun, masih terdapat peniaga kecil yang keliru dengan kenyataan bercanggah daripada pihak kerajaan yang gagal memberi panduan jelas. – HARAKAHDAILY 10/6/2025

- Advertisement -