
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad membidas dakwaan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa parti Islam itu hanya mampu mengekalkan ‘status quo’ di kawasan majoriti Melayu disebabkan ketaasuban ahlinya terhadap kepimpinan parti itu.
Menurut beliau, dakwaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu sebaliknya menunjukkan bahawa Umno sendiri telah kehilangan sokongan di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis.
“Faktanya Umno kosong (kerusi) di Terengganu, Kedah, Perlis, Kelantan satu DUN (Dewan Undangan Negeri) sahaja, kemudian menang satu lagi di PRK (Pilihan Raya Kecil) Nenggiri. Ini negeri Melayu.
“Selangor dua DUN sahaja yang (Umno) menang. Adakah pengundi ini ahli PAS yang taasub? Jawapannya tidak, mereka bukan ahli PAS.
“Kalau Dr Fuad tuduh ahli PAS taasub, dia tak taasub ke kepada pemimpin Umno yang dulu marah kepada DAP dan Dato’ Seri Anwar (Ibrahim)? Bukankah dulu janji lain buat lain?” katanya kepada Harakahdaily hari ini.
Ahli Parlimen Bagan Serai itu turut menegaskan bahawa ahli PAS hanya menyokong pemimpin yang membawa agenda memperjuangkan Islam dan bangsa, bukan menyokong secara membuta tuli.
“Kalau mereka menyimpang, kami tidak patuh walaupun dia berjawatan di dalam Majlis Syura atau jawatan tertinggi dalam PAS. Dr Puad tinggalkan PAS dulu bukan kerana taasub kepada seorang pemimpin PAS ke? Sejarah tidak boleh menipu.
“Kami taasub kepada pemimpin PAS, sehingga kami kehilangan beberapa pemimpin tertinggi PAS apabila pemimpin PAS terutama (Tan Sri) Tuan Guru Abdul Hadi Awang membuat keputusan untuk berta’wun dengan Umno.
“Kerana memikirkan tentang bahayanya politik orang Melayu. Sampai pemimpin PAS yang jadi PAN kata kami keluar PAS sebab ‘pemimpin PAS hendak lacurkan anak’. Sekarang dia peluk dengan parti yang dia benci dulu sampai gamak kata macam itu,” tegasnya.
Beliau dalam pada itu mengimbas kembali usaha PAS yang tidak jemu memperjuangkan penyatuan ummah, walaupun ketika itu berada di luar kerajaan.
“Masihkah kau ingat 22 bulan awak jadi pembangkang, siapa yang ke hulu ke hilir untuk naik pentas atas nama penyatuan ummah? Walau ada ahli PAS tidak setuju untuk beri balang gas kepada Umno.
“Tetapi Tuan Guru dan pemimpin PAS tidak peduli kerana kita yakin dengan prinsip kita. Sehingga parti Dr Puad jadi PM (Perdana Menteri) dan berada di dalam kabinet. Waktu dalam kerajaan pun pemimpin Umno buat beronar macam-macam.
“Kesian pada Dato’ Sri Ismail Sabri daripada parti Dr Puad. Tetapi PAS tetap mengutamakan perpaduan. Dr Puad ini jenis manusia apa pun saya tidak faham,” katanya.
Terdahulu, Dr Puad mendakwa Tuan Guru tidak mempunyai daya tarikan terhadap pengundi bukan Melayu walaupun dilihat memiliki wawasan peringkat dunia.
“Hadi orang agama, PAS pula parti yang memperalatkan agama untuk kuasa. Hadi selamat kerana ketaasuban itu,” dakwanya. – HARAKAHDAILY 9/6/2025











