
MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas di Jalan Raya Timur-Barat, Tasik Banding, Gerik, awal pagi tadi.
Beliau berkata, tragedi menyayat hati itu meragut 15 nyawa, termasuk beberapa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
“Anak-anak muda pewaris masa depan umat… kini pergi buat selamanya, Allahuakbar…
“Tragedi ini amat menyentuh hati kita semua, apatah lagi melibatkan anak-anak muda yang sedang menuntut ilmu, pewaris masa depan umat dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Awal pagi tadi, dilaporkan seramai 15 pelajar UPSI disahkan maut dan tujuh parah apabila bas yang dinaiki mereka dalam perjalanan pulang ke universiti itu terbabit dalam kemalangan dan terbalik di Jalan Raya Timur Barat, berhampiran Tasik Banding, Perak.
Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu daripada Hospital Gerik pada jam 1.10 pagi tadi.
PKOD APM Hulu Perak turut memaklumkan keseluruhan 48 mangsa yang terbabit, termasuk 13 orang meninggal dunia di lokasi kejadian dan dua orang di hospital, manakala empat lagi mangsa tercedera.
Tuan Guru turut mendoakan agar semua mangsa yang terkorban dilimpahi rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama golongan yang soleh.
“Setiap nyawa itu amanah. Setiap kehilangan adalah peringatan untuk kita kembali menginsafi kelemahan sebagai hamba,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/6/2025











