
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu menzahirkan ucapan takziah kepada semua waris mangsa tragedi bas yang meragut nyawa dan menyebabkan kecederaan kepada beberapa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, majoriti penumpang bas merupakan anak-anak Terengganu yang dalam perjalanan pulang ke kampus selepas bercuti sempena Hari Raya Aidiladha.
“Tragedi ini menyayat hati kita semua. Bas yang membawa pelajar dari Jerteh ke UPSI itu dilaporkan mengalami kemalangan yang turut melibatkan kenderaan lain.
“Mereka pergi dalam keadaan yang amat mulia, kembali menuntut ilmu dalam perjalanan yang penuh niat suci. Pemergian mereka adalah satu kehilangan besar buat keluarga, masyarakat dan negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Terengganu akan menyalurkan bantuan segera kepada waris mangsa tragedi ini termasuk bantuan kebajikan dan khidmat kaunseling serta sokongan psikososial kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa.
“Saya telah mengarahkan jabatan serta agensi berkaitan untuk menyelaras segala urusan dengan pihak universiti, hospital serta kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap mangsa dan waris menerima bantuan sewajarnya,” katanya.
Awal pagi tadi, dilaporkan seramai 15 pelajar UPSI disahkan maut dan tujuh parah apabila bas yang dinaiki mereka dalam perjalanan pulang ke universiti itu terbabit dalam kemalangan dan terbalik di Jalan Raya Timur Barat, berhampiran Tasik Banding, Perak.
Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu daripada Hospital Gerik pada jam 1.10 pagi tadi.
PKOD APM Hulu Perak turut memaklumkan keseluruhan 48 mangsa yang terbabit, termasuk 13 orang meninggal dunia di lokasi kejadian dan dua orang di hospital, manakala empat lagi mangsa tercedera.
Satiful yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, menyeru seluruh rakyat Terengganu dan Malaysia untuk sama-sama menadah tangan mendoakan semoga roh mereka terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan orang soleh.
“Semoga mereka yang cedera diberi kesembuhan segera. Semoga seluruh keluarga yang diuji diberikan ketabahan luar biasa dalam menghadapi saat yang sangat sukar ini.” katanya. – HARAKAHDAILY 9/6/2025











