
KUALA LUMPUR: PAS merakamkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan tragis yang meragut 15 nyawa di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Tasik Banding, Gerik awal pagi tadi.
Difahamkan kemalangan tersebut melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dari Jerteh, Terengganu ke Kampus UPSI dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, insiden ini merupakan satu tragedi yang amat menyayat hati dan memberi kesan mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya kepada warga UPSI dan keluarga mangsa.
“PAS turut mendoakan agar semua mangsa yang terkorban diberikan keampunan dan rahmat oleh Allah SWT, serta ditempatkan dalam kalangan para solihin.
“Kepada mereka yang sedang menerima rawatan akibat kecederaan, kami doakan agar diberi kekuatan dan kesembuhan segera,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dalam satu kenyataan.
Dalam masa yang sama ujar beliau, PAS berharap agar siasatan rapi dijalankan oleh pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah keselamatan diperkemaskan agar tragedi seumpama ini tidak berulang.
Laporan awal memaklumkan tujuh mangsa berada di zon merah dan 20 berada di zon kuning, serta enam di zon hijau dengan 13 meninggal di tempat kejadian dan dua lagi di hospital. – HARAKAHDAILY 9/6/2025











