Nahas bas UPSI: Pemuda PAS rakam takziah

Gesa peningkatan aspek keselamatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden merakamkan takziah kepada semua mangsa dan keluarga dalam nahas melibatkan bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

- Advertisement -

“Takziah buat seluruh ahli keluarga pelajar UPSI yang terlibat kemalangan bas pagi tadi,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar dalam satu hantaran di laman Facebook.

Menurut beliau, akhir-akhir ini semakin banyak kemalangan dilaporkan melibatkan bas ekspres dan jentera berat yang mengundang kebimbangan pelbagai pihak terhadap tahap keselamatan pengguna jalan raya di negara ini.

Jelasnya, aspek keselamatan kenderaan seperti kelengkapan beg udara dan tali keledar perlu diberi perhatian serius serta dipertingkatkan bagi meminimumkan impak sekiranya berlaku kemalangan.

“Selain itu, aspek pematuhan undang-undang oleh pemandu kenderaan serta sikap para pengguna jalan raya, menjadi penentu utama terhadap keselamatan pemanduan. Didikan sikap perlu diperhebatkan.

“Hukuman dan undang-undang perlu dipertingkatkan. Cukuplah tragedi-tragedi seperti ini menjadi pengajaran buat kita semua. Semoga Allah melindungi dan memelihara keselamatan perjalanan kita semua,” katanya.

Bas yang membawa pelajar UPSI itu dilaporkan terbalik selepas bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak.

Difahamkan bas yang membawa pelajar UPSI itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak tersebut mengalami kemalangan sekitar jam 1 pagi tadi.

Status semasa menunjukkan tujuh mangsa kini berada di zon merah, 20 di zon kuning dan enam di zon hijau, dengan 13 mangsa meninggal di tempat kejadian sementara dua lagi di hospital. – HARAKAHDAILY 9/6/2025

- Advertisement -