Elak Malaysia jadi pangkalan kegiatan sindiket scammer

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jenayah dilakukan sindiket penipuan atau ‘scammer’ tidak boleh dipandang ringan walaupun pihak berkuasa berjaya melakukan tangkapan dan mendakwa pesalah di mahkamah, kerana mereka akhirnya dibebaskan selepas membayar denda.

Naib Presiden Muafakat Nasional (MN) Negeri Melaka, Dr Shawn Loh Sheng Nian berkata, sebab kepada para penjenayah terlibat menjadikan negara ini sebagai pangkalan kegiatan mereka perlu dikenal pasti dan ditangani dengan tindakan sewajarnya.

“Patutkah prosedur visa masuk dikuatkuasakan dengan lebih ketat? Terutama kad pelajar,” ujar beliau susulan laporan terkini serbuan polis yang berjaya menahan 20 warga asing di Ibu Negara baru-baru ini.

Dr Shawn turut menasihatkan orang ramai untuk prihatin dan bersama mengumpul lebih banyak maklumat bagi membantu polis khususnya dalam menangani kegiatan penipu seumpama yang diketahui sentiasa menubuhkan pejabat operasi di rumah-rumah kediaman. 

“Jika ada yang perasan bahawa jiran mereka bukan orang tempatan, dan ramai orang berkongsi tempat, atau terdapat banyak kereta yang diletakkan di rumah yang sama, kita perlu berjaga-jaga.  

“Orang ramai harus melaporkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan jika mereka mendapati tempat mereka bekerja atau pejabat ada pihak melakukan jenayah (tersebut), bukannya menutup dan memaafkan. 

“Setiap orang mempunyai tanggungjawab untuk melindungi keselamatan negara, dan ia juga merupakan perlindungan dan pencegahan untuk keluarga mereka sendiri, ujar beliau yang juga Ketua Khidmat Malaysia Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat.

Menurut laporan media, kegiatan ‘scammer’ warga asing di negara ini adalah dengan menjalankan penipuan terhadap sasaran atau mangsa dalam kalangan warganegara asalnya dengan mencipta plot dan menyamar sebagai pihak berkuasa atau agensi di negara tersebut.

Di Asia Tenggara, selain Malaysia, turut dilaporkan aktif berlakunya operasi ‘scammer’ adalah Kemboja dan Myanmar melibatkan transaksi pemindahan wang berbilion ringgit. – HARAKAHDAILY 9/6/2025

- Advertisement -
- Advertisement -