
KOTA BHARU: Lebih 2,000 asnaf fakir dan miskin di seluruh Kelantan menerima agihan daging korban sempena Ibadat Korban Jamaie anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Agihan itu disalurkan melalui masjid negeri, bandar dan kampung terpilih di setiap jajahan sebagai lambang kasih sayang sesama insan dan pelaksanaan tanggungjawab sosial Islam kepada golongan memerlukan.
Program yang berlangsung di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra Panji sempena 11 Zulhijjah 1446H itu menyaksikan sebanyak 49 ekor lembu dikorbankan, semalam.
Lima daripadanya merupakan sumbangan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V khusus untuk diagihkan kepada asnaf.
Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra turut berkenan hadir menyaksikan penyembelihan haiwan korban.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, ibadah korban yang dilakukan bukan sekadar penyembelihan haiwan.
“Ia mengandungi makna kepedulian sosial yang terbit dari sifat takwa dengan mengagihkan daging korban kepada sesama masyarakat, khasnya kepada golongan yang kurang berkemampuan.
“Melalui amalan yang dipraktikkan ini, kasih sayang dan perpaduan antara sesama umat Islam dapat dipupuk dan disuburkan ke arah membentuk kehidupan yang sejahtera berpandukan wahyu Allah SWT,” katanya.
Ujarnya lagi, semangat gotong-royong menyempurnakan sembelihan korban yang masih subur dalam kalangan rakyat Kelantan hendaklah terus dijaga.
“Inilah yang menjadikan suasana sambutan Aidiladha di negeri kita meriah sehingga ke hari ini.
“Suasana sebegini bukan hanya merapatkan persaudaraan sesama kejiranan malah menjadikan hari raya disambut dengan penuh penghayatan dan kesyukuran,” tambahnya.
Beliau turut menjunjung kasih kepada Tengku Mahkota Kelantan atas perkenan berangkat ke Majlis Ibadat Korban Jamaie MAIK tahun ini.
Yang Dipertua MAIK merangkap Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, ibadat korban bukan hanya ritual semata-mata.
“Ia mengajar kita erti keikhlasan, ketaatan serta kesediaan berkorban demi agama dan membantu mereka yang hidup dalam kesusahan,” ujarnya.
Katanya lagi, MAIK komited meneruskan penganjuran program seumpama ini sebagai sebahagian daripada agenda dakwah dan kebajikan yang berterusan demi kemaslahatan ummah. – HARAKAHDAILY 9/6/2025












