Kenduri Rakyat santuni mangsa Putra Heights

Sempena Aidiladha

- Advertisement -

PUCHONG: Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) telah menyantuni mangsa-mangsa letupan paip gas di Putra Heights dengan menganjurkan Kenduri Rakyat Aidiladha di Kampung Kuala Sungai Baru, di sini semalam.

- Advertisement -

Keprihatinan tersebut sebagai meneruskan komitmen kemanusiaan dan tanggungjawab sosial Khidmat Malaysia kepada pihak terjejas bencana, menyaksikan program telah dirai bersama 300 hadirin termasuk mangsa dalam kalangan penduduk setempat.

Seekor kerbau, dua lembu dan empat kambing telah dikorbankan dengan majlis turut dianjurkan bersama Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru (KKSB), manakala Kenduri Rakyat ditaja sepenuhnya Khidmat Malaysia.

Turut hadir memberi sokongan dan memimpin program ialah Setiausaha Khidmat Malaysia Pusat merangkap Penyelaras Khidmat Malaysia Kawasan Puchong, Ustaz Ashrul Hisyam Abdul Jalil, serta Penasihat Khidmat Malaysia Puchong, Ustaz Rasidi Md Yusof.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat, dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, TPgB (KUP) Muhammad Iskandar Zul Akbar Abdul Aziz.

Ashrul Hisyam ketika mengulas penganjuran menyatakan bahawa ia bukan sahaja simbolik sempena Aidiladha, tetapi juga satu bentuk solidariti dan sokongan moral kepada mangsa kejadian yang masih merasa terkesan dengan tragedi.

“Khidmat Malaysia Puchong akan terus komited membantu proses pemulihan di Kampung Kuala Sungai Baru dan kawasan sekitarnya. Kami menyeru semua pihak, baik agensi, individu mahupun pertubuhan, agar terus memberikan sokongan moral dan sumbangan kewangan demi kebajikan bersama,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat menjayakan program, termasuk sukarelawan, petugas barisan hadapan, serta badan-badan kebajikan yang berganding bahu dalam semangat muafakat.

Ashrul Hisyam turut berharap program itu menjadi titik tolak kepada pemulihan komuniti secara menyeluruh serta memperkukuhkan ikatan masyarakat melalui pendekatan ihsan dan kebersamaan.

Untuk sumbangan umum atau Sumbangan Khusus Pemulihan KKSB, sila hubungi Sekretariat Khidmat Malaysia Kawasan Puchong di talian 0193198531 atau melalui email [email protected].

Sebarang sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Bank Islam 12225010037517 Pertubuhan Pengurusan Kecemasan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia). – HARAKAHDAILY 9/6/2025

- Advertisement -