Aidiladha meriah terserlah di seluruh Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kemeriahan Hari Raya Aidiladha di Kelantan sememangnya luar biasa apabila ibadah korban berlangsung hampir di setiap kampung dengan penuh semangat gotong-royong dan ukhuwah masyarakat.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan turut menyifatkan suasana itu sebagai sesuatu yang perlu dialami sendiri oleh masyarakat luar.

“Jika ingin rasai kemeriahan Aidiladha, datanglah ke Kelantan,” pelawa beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu.

Gambaran itu jelas terbukti apabila lebih 500 orang hadir memeriahkan program korban anjuran Hashim Abdullah, 63, atau lebih dikenali sebagai Pok Muda di Kampung Kemumin, Pengkalan Chepa.

Ini hanya antara satu dari ribuan program seumpama berlangsung sepanjang empat hari ibadah korban yang dilakukan pasukan-pasukan lain di kampung mahupun daerah lain di seluruh Kelantan.

Pok Muda meneruskan legasi ayahnya sejak tahun 2000 dengan mengendalikan sendiri pasukan korban bersama 15 petugas terdiri daripada ahli keluarga dan tenaga kerja jemputan.

Sebanyak 15 ekor lembu disembelih pada hari pertama Aidiladha, manakala dua ekor lagi pada hari kedua.

Menariknya, peserta korban bukan sahaja dari sekitar Pengkalan Chepa, malah dari seluruh Kelantan yang mengenali reputasi dan komitmen beliau.

“Harga satu bahagian korban bermula dari RM650 hingga RM900 bagi lembu tempatan,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, pernah dalam satu musim Aidiladha, 20 ekor lembu dikorbankan pada hari pertama sahaja kerana permintaan yang sangat tinggi.

Beliau percaya pengalaman pasukannya serta lokasi strategik menjadi faktor utama sambutan yang menggalakkan.

Mengimbas permulaan minat dalam bidang ini, beliau berkata semuanya bermula ketika masih remaja.

“Saya mula dari bawah. Dari tolong ayah, sekarang saya mampu kendalikan sepenuhnya,” katanya.

Lembu yang digunakan dibeli dari pelbagai tempat dan dipelihara sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum majlis berlangsung bagi memastikan tahap kesihatannya.

Lebih istimewa, Pok Muda yang turut merupakan pengusaha katering menyediakan pelbagai juadah istimewa untuk para peserta dan pengunjung, termasuk kuih-muih serta hidangan khas Aidiladha.

“Saya juga ambil tempahan makanan untuk majlis lain, jadi tiada masalah untuk sediakan makanan pada hari raya ini,” ujarnya.

Semangat dan dedikasi Pok Muda membuktikan bahawa ibadah korban bukan sekadar amalan ibadah semata-mata, tetapi wadah menyatukan komuniti dan menyemarakkan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat. – HARAKAHDAILY 9/6/2025

- Advertisement -