
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.
Segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kasih sayang-Nya, kita dikurniakan kesempatan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha pada tahun ini. Hari yang mengangkat erti ketaatan, keikhlasan dan pengorbanan ke tahap tertinggi dalam kehidupan seorang hamba.
Aidiladha bukan sekadar perayaan, ia adalah medan muhasabah. Kisah agung Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS bukan sekadar sejarah, tetapi panduan hidup yang sarat dengan ibrah dan hikmah. Ia mengajar kita tentang redha terhadap ketentuan Ilahi tentang sebuah pengorbanan demi kebenaran dan tentang iman yang tidak goyah walau diuji sehebat mana sekalipun.
Di kesempatan ini, saya ingin menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Negeri Darul Iman yang terus memperlihatkan semangat kebersamaan dan kepedulian yang tinggi khususnya ketika menyantuni mereka yang memerlukan dalam musim korban ini. Inilah wajah sebenar rakyat Terengganu yang bersifat penyayang, prihatin dan berjiwa besar.
Saya menyeru agar semangat pengorbanan ini terus dizahirkan dalam bentuk amal jariah seperti semangat gotong-royong, menjaga kebersihan kampung halaman, serta mendidik anak bangsa dengan nilai agama dan akhlak. Sama-sama kita berusaha memperkukuh perpaduan dan mempertahankan keharmonian yang telah sekian lama menjadi tunjang kepada kekuatan rakyat Negeri Terengganu.
Kepada jemaah haji yang sedang berada di Tanah Suci, doa kami sentiasa mengiringi kalian. Semoga dikurniakan kesihatan, kemudahan urusan dan kembali ke tanah air sebagai haji yang mabrur, membawa pulang cahaya dan keberkatan untuk dikongsi bersama keluarga dan masyarakat.
Marilah kita terus menjaga keamanan, memelihara kesucian agama, dan mempertahankan maruah negeri kita yang kita cintai ini. Sesungguhnya kemajuan dan kesejahteraan Terengganu yang kita dambakan hanya akan tercapai melalui pengorbanan, kerjasama dan rasa tanggungjawab bersama.
Akhir kata, saya bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha 2025 Masihi bersamaan 1446 Hijrah kepada seluruh rakyat Terengganu.
“Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera”
YAB DATO’ SERI IR DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Menteri Besar Terengganu
10 Zulhijjah 1446H / 7 Jun 2025 – HARAKAHDAILY 7/6/2025











