
Selamat Meraikan Aidil Adha buat umat Islam yang saya kasihi khususnya warga Negeri Kedah Darul Aman.
Sejak semalam iaitu pada Hari Arafah kita telah mula menunaikan pelbagai ibadah sunat menyertai saudara kita yang melaksanakan ibadah Haji di Tanah Suci Makkah.
Antara ibadah sunat yang paling afdal pada Hari Arafah ialah berpuasa dan berdoa sebagaimana sabda Nabi SAW yang diriwayatkan Abdullah bin Amr’ bahawa “sebaik-baik doa adalah pada Hari Arafah”.
Kita juga disunatkan untuk bertakbir Muqayyad bermula selepas solat Subuh pada 9 Zulhijjah, dan diteruskan setiap kali selepas solat fardu hingga waktu Asar 13 Zulhijjah.
Selain itu, sebagaimana yang kita sedia maklum, Aidil Adha adalah hari di mana setiap orang yang berkemampuan diseru untuk melaksanakan ibadah korban pada hari-hari Tasyrik bermula 10 hingga 13 Zulhijjah.
Keutamaan kita dalam melaksanakan ibadah korban adalah dengan memberi makan kepada golongan fakir dan miskin. Ini amat signifikan dalam suasana kenaikan kos hidup pada masa ini.
Justeru, dalam keadaan ini, saya ingin mengingatkan bahawa adalah amat penting bagi kita semua untuk kembali kepada falsafah ibadah korban iaitu membantu orang lain, khususnya golongan yang kurang berkemampuan.
Ibadah korban pada setiap kali Aidil Adha adalah satu modul pendidikan jiwa orang Islam supaya sedia dan sanggup melakukan pengorbanan dengan mengutamakan kepentingan orang lain berbanding diri sendiri.
Kesanggupan untuk berkorban akan mewujudkan suasana yang harmoni dan berkasih sayang dalam masyarakat.
Sikap saling bantu-membantu akan mengeratkan lagi semangat persaudaraan dan perpaduan dan inilah jalan untuk kita mendapat keredaan dan rahmat daripada Allah SWT.
Apa yang penting, dalam melakukan pengorbanan sama ada ibadah korban pada Aidil Adha ini ataupun dalam kehidupan sehari-hari, kita hendaklah ikhlas.
Janganlah pengorbanan dilakukan dengan sesuatu tujuan untuk menunjuk-nunjuk, untuk mendapatkan pengaruh atau pujian, ataupun sesuatu tujuan yang tidak wajar.
Sebagai orang beriman, kita perlu meyakini janji-janji Allah bahawa tidak akan berkurang bagi sesiapa yang ikhlas bersedekah kepada saudaranya yang memerlukan malah akan bertambah.
Justeru jika kita ada kemampuan atau lebihan wang, walaupun sedikit, sedekahlah. Dengan itu mudah mudahan kita bukan sahaja akan dapat pahala sebagai bekalan akhirat malah juga akan ditambahkan rezeki di dunia.
Jadikanlah Hari Raya ini untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT serta mengeratkan lagi kasih sayang dan semangat persaudaraan Islam yang membawa berkat kepada kehidupan di dunia dan keselamatan di hari akhirat.
Maaf zahir dan batin.
Sekian.
وابهلل التوفيق واهلداية
والسالم عليكم ورمحة للا وبركاته
HAJI MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Menteri Besar Kedah Darul Aman – HARAKAHDAILY 7/6/2025











