
Firman Allah SWT:
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ ۗ فَإِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ فَلَهُ أَسْلِمُوا ۗ وَبَشِّرِ الْمُخْبِتِينَ ﴿٣٤﴾
Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadaNya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat.” (Surah Al-Hajj, Ayat 34)
Hari Raya Aidiladha mengingatkan kepada kisah sebuah keluarga yang memberikan erti sebenar ketundukan dan kepatuhan kepada perintah Allah SWT iaitu kisah keluarga Nabi Ibrahim AS meskipun berhadapan dengan ujian yang amat berat. Perintah untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail AS ditaati sepenuh jiwa dan raga yang menzahirkan kemuncak taqwa kepada ketetapan perintah Allah SWT.
Memahami dan menghayati kisah agung itu, pensyariatan ibadah korban menjadi simbolik pengorbanan yang mesti dicurahkan sebagai tanda syukur kepada pemberian Allah SWT. Inilah yang disebut sebagai golongan ‘al-Mukhbitin’ yang mendapat khabar gembira kerana ketundukan dan kepatuhan mereka kepada perintah Allah SWT.
Ibadah korban yang dilakukan bukan sekadar penyembelihan haiwan, tetapi mengandungi makna kepedulian sosial yang terbit dari sifat taqwa dengan mengagihkan daging korban kepada sesama masyarakat khasnya kepada golongan yang kurang berkemampuan. Melalui amalan yang dipraktikkan ini, kasih sayang dan perpaduan antara sesama umat Islam dapat dipupuk dan disuburkan ke arah membentuk kehidupan yang sejahtera berpandukan wahyu Allah SWT.
Begitu juga semangat gotong-royong menyempurnakan sembelihan korban yang masih subur dalam kalangan rakyat Kelantan hendaklah terus dijaga dan inilah yang menjadikan suasana sambutan Aidiladha di negeri kita meriah sehingga ke hari ini. Suasana sebegini bukan hanya merapatkan persaudaraan sesama kejiranan malah menjadikan hari raya disambut dengan penuh penghayatan dan kesyukuran.
Dalam pada itu, marilah kita terus membumikan erti pengorbanan ini dengan terus bersolidariti kepada perjuangan saudara seakidah kita di G4z4, Filistin. Kalau bukan kita siapa lagi mahu pedulikan nasib mereka. Aidiladha mengajar kita bahawa pengorbanan juga bermaksud berdiri bersama mereka yang dizalimi, walaupun hanya dengan doa dan jihad harta.
Di kesempatan yang penuh makna ini, saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha 1446 Hijriah kepada seluruh rakyat negeri Kelantan, termasuk mereka yang berada di perantauan serta para jemaah haji yang sedang menunaikan ibadah agung di Tanah Suci.
Sekian.
DATO’ PANGLIMA PERANG USTAZ DATO’ HAJI MOHD NASSURUDDIN HAJI DAUD
Menteri Besar Kelantan
9 Zulhijjah 1446H bersamaan 6 Jun 2025M (Jumaat) – HARAKAHDAILY 6/6/2025











