
KOTA BHARU: Ibadah korban yang dilaksanakan setiap Zulhijjah bulan Islam merupakan salah satu tanda membesar syair Islam dan menzahirkan sifat takwa yang ada dalam diri manusia.
Pendakwah, Ustaz Khairul Anuar Ismail berkata, Nabi Muhammad menunjukkan tauladan bagaimana ibadah tersebut tetap dilakukan sepanjang 10 tahun setelah berpindah ke Madinah.
Beliau berkata, perintah tersebut untuk seorang utusan tuhan menjadi wajib berbanding umat baginda yang hanya melibatkan hukum sunat muakkad atau amalan yang digalakkan dilakukan.
“Ibadah korban bagi Rasulullah itu wajib, dia tidak sama dengan kita, baginda ada ibadah yang wajib ke atas baginda seperti juga solat malam tetapi sunat muakad bagi kita umat dia.
“Termasuklah juga ibadah korban ini ada kewajipan ke atas baginda dan hukum sunat muakad ke diri umat dia, walaupun istilah korban ini mengikut ulama pelbagai tafsiran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Diskusi Fiqh Korban anjuran Yayasan Amanah Tok Kenali (YTK) yang diadakan di Dewan Tok Guru, Syabab Point, di sini baru-baru ini.
Khairul Anuar yang juga salah seorang tenaga pengajar Pusat Talaqqi Fateh berkata, semua ibadah dilakukan merupakan hakikat seorang hamba untuk menyatakan rasa syukur kepada Allah SWT.
Beliau berkata, matlamat yang paling tinggi ialah syukur, sebagaimana dalam hadis diriwayatkan Bukhari, dari isteri Nabi Muhammad SAW, Aisyah RA melihat baginda solat hingga bengkak kaki.
Menurutnya pengorbanan dilakukan dalam bentuk harta walaupun ia semakin berkurangan, tetapi balasan yang diterima merupakan satu perkara tidak pernah diduga oleh fikiran manusia.
Menurutnya tidak menjadi kesukaran bagi orang yang bersyukur untuk menunaikan sebarang syariat Islam tanpa rasa penat dan letih, malah merasai semakin manis bila melaksanakan kewajipan.
“Begitulah bila kita berpuasa kita rasa sakit perut sakit badan, sebenarnya itulah tanda syukur kepada Allah, kita sanggup menyakiti tubuh badan kita walaupun sedikit sahaja tidak banyak.
“Bila kita keluargkan sedekah, kita rasa kurang, dia memang akan kurang, orang kata semakin bertambah itu benda lain, hati jadi tenang, sihat tubuh badan dan sebagainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/6/2025











