
SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mendesak Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) untuk berundur seketika bagi memberi ruang kepada proses perbicaraan saman yang dihadapinya.
Ketuanya, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, PMX perlu menyedari bahawa beliau tidak terkecuali daripada prinsip kedaulatan undang-undang di negara ini dan tidak takut untuk berdepan secara anak jantan terhadap saman dikemukakan Yusoff Rawther.
“PMX seharusnya berani berdepan untuk menyatakan kebenaran. Mengapa sehingga kini masih tiada sebarang penjelasan konsisten dan tuntas daripada PMX? Malahan PMX dilihat cuba mencari alasan untuk mengelak.
“Sikap acuh tidak acuh seperti ini memperkuatkan lagi spekulasi masyarakat awam bahawa PMX memang terlibat dengan amalan songsang luar tabie,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tambah beliau, pihaknya turut menggesa agar proses perbicaraan mahkamah dapat berjalan secara adil tanpa sebarang campur tangan kuasa eksekutif.
“Sementara itu, berilah peluang kepada Timbalan Perdana Menteri untuk memikul amanah mengemudi negara untuk memastikan kelangsungan pentadbiran negara dapat terus lancar sehingga kes ini diselesaikan.
“Mungkin Timbalan Perdana Menteri 1 difikirkan sesuai memandangkan beliau sudah tidak runsing dengan 47 kes yang menghantuinya selama ini,” katanya.
Terdahulu, Anwar menerusi peguambelanya pada Rabu memfailkan rayuan serta-merta untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan, antaranya membabitkan isu imuniti daripada sebarang kes saman sivil.
Ia susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Anwar yang juga Menteri Kewangan berhubung kes serangan seksual terhadap Yusoff Rawther yang merupakan bekas pembantunya. – HARAKAHDAILY 6/6/2025











