Jauhnya diri daripada Allah punca hidup rasa sempit

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, antara punca utama seseorang itu berasa hidupnya sentiasa dalam masalah adalah kerana jauhnya hubungan dengan Allah SWT.

- Advertisement -

Menurut beliau, ramai yang merasakan hidup ini tidak pernah tenang dan seakan tidak keluar daripada belenggu kesempitan, walaupun secara zahirnya segala-galanya kelihatan baik.

“Sebenarnya, rasa itu sering datang bukan sebab dunia tak adil, tapi kerana kita semakin jauh daripada perkara yang sepatutnya mendekatkan kita kepada ketenangan.

“Masalah paling besar dalam hidup sebenarnya bukanlah hutang, sakit atau gagal, tapi jika hubungan kita dengan Allah semakin jauh. Kita kejar rezeki, tapi kita jarang sujud dengan khusyuk.

“Kita minta urusan dipermudahkan tapi lupa kepada Tuhan yang Maha Memudahkan. Kita mengadu di media sosial, di status WhatsApp, tapi lupa mengadu dan bermunajat dalam doa.

“Bila jauh dari Allah, kita hilang sumber kekuatan dalaman, kadang-kadang masalah kecil pun rasa besar. Bila dekat dengan Allah, badai pun terasa ringan. Berzikirlah,”  katanya dalam satu coretan.

Dalam tulisan sama, beliau turut memetik ayat al-Quran dari Surah Taha ayat 124 yang membawa maksud “Barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit.”

Beliau turut menyeru umat Islam agar mendekatkan diri dengan al-Quran yang disifatkan sebagai panduan hidup dan penawar bagi hati resah, bukan hanya dibaca ketika tahlil atau bulan Ramadan sahaja.

“Tapi realitinya? Kita lebih kenal status orang di WhatsApp daripada ayat-ayat Allah. Bila sakit hati, kita cari lagu sedih. Bila serabut, kita ‘scroll’ media sosial, bukannya buka mushaf Al-Quran.

“Mungkin sebab itu hati kita gelisah kerana kita tinggalkan sesuatu yang sepatutnya menenangkan kita. Bacalah (Al-Quran),” tegasnya.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai agar turut bersedekah sebagai sumber berkat dan pelindung dari kesempitan hidup, di samping aktif dalam melakukan kebaikan dan kebajikan yang merupakan peranan setiap insan.

“Ketenangan itu dekat, Jika kita dekat. Jangan terus rasa hidup ini satu hukuman. Kadang-kadang Allah izin kita ‘terasa berat’ bukan untuk melemahkan, tapi supaya kita kembali mencari-Nya.

“Kita bukan kekurangan rezeki, tapi kekurangan rasa cukup. Kita bukan kekurangan peluang, tapi kekurangan syukur. Kita bukan kekurangan kasih sayang, tapi mungkin jauh dari sumber cinta sebenar iaitu Allah SWT.

“InsyaAllah, barulah masalah tak terasa membunuh sebaliknya menjadi jambatan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Ujian adalah rahmat,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/6/2025

- Advertisement -