
KUALA LUMPUR: PAC bertegas meneruskan prosiding berhubung isu Pengurusan Lapangan Terbang Awam, walaupun Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) sudah menjadi milikan penuh konsortium Gateway Development Alliance (GDA) yang diterajui Khazanah Nasional pada 22 Februari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya telah memulakan prosiding berhubung isu ini pada 17 Februari lalu, dan setakat ini sudah mengadakan lapan prosiding.
“Malah pada 3 dan 4 Jun lalu, PAC telah memanggil semula beberapa saksi daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional bagi memberikan penjelasan dan keterangan terhadap beberapa isu berbangkit yang didapati daripada prosiding sebelum ini.
“Antara saksi yang hadir adalah mantan Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir; Ketua Pegawai Pelaburan KWSP, Rohaya Yusof; Ahli Lembaga Pengarah, Khazanah Nasional Berhad, Goh Ching Yin; dan Pengarah Eksekutif, Khazanah Nasional Berhad, Wong Shu Hsien.
“Walaupun isu ini tidak dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), PAC mengingatkan semua saksi yang dipanggil supaya memberikan kerjasama dengan hadir bagi memberikan penjelasan dan keterangan di hadapan Jawatankuasa ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, PAC menggunakan punca kuasa Peraturan Mesyuarat (PM) 77(1)(d) Peraturan–peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PPMMDR) bagi prosiding dilaksanakan kali ini.
“Ia juga menggunakan punca kuasa PM 83(2) PPMMDR; Arahan Perbendaharaan 301 (Pindaan) 2023; dan Seksyen 5(3)(d), Pekeliling Am No. 1 Tahun 2024 Organisasi Kementerian-Kementerian, Jabatan Perdana Menteri.
“PAC juga akan meneruskan prosiding isu Peningkatan Bayaran Premium Insurans Kesihatan, Caj Hospital Swasta Dan Impak Kepada Kesihatan Awam Di Bawah Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) mulai 17 hingga 19 Jun ini,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya akan memanggil saksi-saksi iaitu BNM, KKM, syarikat insurans, pentadbir pihak ketiga, Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
Terdahulu, PAC memanggil Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fong sebagai usaha untuk menambah baik pengurusan lapangan terbang awam, bukannya disebabkan faktor politik.
Mas Emeieyati berkata, beliau sangat terkejut dan terkilan dengan kenyataan dikeluarkan Ahli Parlimen Seremban itu yang mendakwa PAC memanggilnya hanya disebabkan beliau dari parti DAP.
Katanya, pandangan diutarakan oleh Loke itu tidak tepat memandangkan PAC sudah memanggil ramai Menteri serta mantan menteri dalam setiap prosiding yang diadakan dan ia tiada kena mengena dengan parti diwakili mereka. – HARAKAHDAILY 5/6/2025











