Lestari bumi: Henti pencemaran plastik, hindar sekali guna

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lajnah Alam Sekitar dan Perubahan Iklim PAS (LASPI) menyeru seluruh ahli PAS dan masyarakat Malaysia umumnya agar menghindarkan penggunaan plastik sekali guna.

- Advertisement -

Pengerusi LASPI, Dr Mohd Zuhdi Marsuki berkata, pihaknya mencadangkan agar program-program keramaian tidak lagi menggunakan botol, bekas minuman, pinggan dan lain-lain yang diperbuat daripada plastik.

“Masyarakat juga diseru agar beramal dengan amalan kitar semula terutamanya barangan plastik. Bagi umat Islam, Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini jatuh pada tarikh yang sama dengan Hari Wukuf di Arafah.

“Ibadah Wukuf menzahirkan syiar kesatuan ummah yang menghendaki umat Islam menjauhi amalan-amalan tercela.

“Pada Hari Wukuf juga, seluruh hujjaj memakai ihram yang putih bersih, sebagai lambang kesucian rohani dan kebersihan jasmani yang begitu ditekankan oleh ajaran Islam.

“Oleh sebab itu, LASPI mengajak seluruh umat Islam agar ke hadapan menerajui penyelesaian isu-isu alam sekitar,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tarikh 5 Jun telah diisytiharkan oleh  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai Hari Alam Sekitar Sedunia sejak 1972 menerusi Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Alam Sekitar Manusia (UNCHE) di Stockholm, Sweden.

Ia disambut sebagai lambang kesatuan masyarakat global untuk melindungi bumi yang merupakan satu-satunya planet tempat tinggal manusia.

Tema pada tahun ini ialah “Putting An End to Plastic Pollution” atau “Hentikan Pencemaran Plastik”, dengan seruan kepada seluruh komuniti global agar mengadaptasi dan menggalakkan penyelesaian lestari terhadap penggunaan plastik. – HARAKAHDAILY 5/6/2025

- Advertisement -