Tangguh Parlimen taktik halus elak bantahan URA

Himpunan Bantah URA ke tarikh baharu, 26 Julai

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mempersoalkan motif sebenar keputusan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menangguhkan Sidang Dewan Rakyat kepada tarikh baharu iaitu 21 Julai hingga 28 Ogos 2025.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, penangguhan itu berlaku tanpa sebarang justifikasi yang munasabah memandangkan tiada darurat, tiada wabak dan tiada bencana yang sedang melanda negara.

“Alasan kerajaan yang kononnya mahu menunggu unjuran ekonomi susulan tarif balas dari Amerika Syarikat adalah longgar, kabur dan menimbulkan persoalan.

“Adakah ini taktik kerajaan untuk mengelak daripada berhadapan dengan bantahan rakyat terhadap RUU Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang semakin kuat?” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, pihaknya telah menerima sokongan serta permohonan daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik untuk bersama-sama membantah URA versi Kerajaan Madani ini.

“Termasuk kebimbangan mereka terhadap isu peningkatan kos sara hidup rakyat, serta kelemahan tatakelola pentadbiran kerajaan yang semakin membimbangkan hari ini,” katanya.

Sehubungan itu, Pemuda PAS Malaysia bersama parti politik dan NGO yang lain akan menggerakkan himpunan aman besar-besaran sepertimana yang telah diisytiharkan sebelum ini pada tarikh yang baharu iaitu 26 Julai 2025.

“Pada ketika itu tempoh Parlimen Malaysia sedang bersidang. Kami berjanji akan memastikan para Ahli Dewan Rakyat sekalian mendapat isyarat yang jelas terhadap keresahan yang menimpa rakyat Malaysia melalui himpunan rakyat ini,” katanya.

Terdahulu, Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung dari 23 Jun hingga 31 Julai 2025, ditunda ke 21 Julai hingga 28 Ogos depan.

Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam kenyataannya berkata, ia bagi membolehkan kerajaan memuktamadkan unjuran pertumbuhan ekonomi kepada penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dengan mengambil kira impak tarif timbal balas Amerika Syarikat.

Sebelum itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, menyifatkan keadaan itu sebagai satu lagi manifestasi sebuah kerajaan yang gagal menunjukkan kesegeraan dan kejelasan dalam mengurus agenda negara.

“Penangguhan ini menjadikan tempoh Parlimen tidak bersidang kali ini selama 137 hari iaitu tempoh ketiga terpanjang dalam sejarah negara selepas penggantungan Parlimen susulan rusuhan 13 Mei (648 hari) dan darurat Covid-19 pada 2021 (195 hari),” katanya.

Ahmad Fadhli berkata, sidang khas sehari yang berlangsung baru-baru ini tidak boleh diambil kira kerana ia bersifat teknikal dan hanya tertumpu kepada isu tarif.

“Jika dahulu darurat berlaku kerana rusuhan kaum dan wabak penyakit, apakah alasan kali ini? Adakah kerana terlalu sibuk dengan pemilihan parti? Atau kerana sedang menyusun rombakan kabinet menjelang peletakan jawatan yang dijangka berlaku?

“Atau kerana draf RMK13 masih belum siap akibat terlalu banyak ‘misi luar negara’?” katanya. – HARAKAHDAILY 5/6/2025

- Advertisement -