Keikhlasan rahsia kekuatan dan kemenangan PAS

Tuan Guru Zulkifli
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail menyifatkan keikhlasan sebagai rahsia kekuatan dan sebab kemenangan PAS dalam perjuangan menegakkan Islam.

Beliau berkata, keikhlasan dalam tiap sesuatu ialah betul-betul tidak mengharapkan dalam pekerjaannya selain Allah, dan ia merupakan suatu keadaan yang sangat rumit dan tersembunyi.

“Justeru itu, keikhlasan disebut sebagai ‘sirrun’, iaitu rahsia tertutup rapat. Apatah lagi keikhlasan dalam perjuangan mendukung pertahanan dan perjuangan Islam akan menelurkan keajaiban dalam keperibadian dan kehidupan seorang Muslim serta mengangkatnya kepada darjat yang sangat mulia,” ujarnya dalam satu tulisan, hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Jasin itu, dalam PAS, golongan ‘murobitun’ adalah ruh dan nyawa kepada parti itu, dan kewujudan merekalah sebenarnya yang meletakkan PAS sentiasa di hadapan.

“Murobitun ini tidak dikenal pada ucapan mahupun penampilan ataupun jawatan. Murobitun ini adalah golongan yang menjadikan bekerja untuk Islam adalah kebahagiaan mereka yang sebenar.

“Kedatangan sebahagian mereka ke majlis tidak disambut dan kepulangan mereka tidak disedari. Wadah mereka bukanlah ceramah berapi-api atau penampilan populis atau jawatan tertentu. Wadah mereka adalah bekerja dan berkhidmat kepada Islam,” terangnya.

Justeru itu, katanya, mereka tidak tertarik untuk menekuni lahiriah atau berebut pentas atau mengejar jawatan, sebaliknya mereka adalah kekuatan sebenar PAS.

“PAS mencapai kemajuan dengan hasil tangan mereka yang Rabbani, konsisten, bersih dari kecuaian dan jujur dari sebarang pengkhianatan. Mereka bukan orang itu dan orang ini. Mereka adalah orang-orang Tuhan yang doa mereka tidak ditolak.

“Mereka adalah ahli-ahli PAS yang mendengar dan melihat sesuatu untuk Allah, mereka menggunakan tangan dan menggerakkan kaki untuk Allah. Mereka berada di dalam mana-mana bahagian struktur parti untuk Allah,” jelasnya.

Tuan Guru berkata, al-Quran menyebut mereka sebagai golongan Rabbani dan para kekasih Allah yang sebenar, dan dalam PAS, sifat-sifat yang mereka miliki adalah material asas dalam kepimpinan di semua peringkat, sama ada mereka adalah ulama atau profesional.

“Material-material lain adalah pelengkap. Mereka adalah golongan yang sentiasa dibantu Allah. La yadhurruhum man khalafahum,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/6/2025

- Advertisement -
- Advertisement -