
KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan imuniti oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) menunjukkan bahawa beliau tidak terkecuali daripada prinsip kedaulatan undang-undang sebagaimana rakyat biasa.
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, isu berkenaan bukan sahaja menyentuh soal perundangan semata-mata, tetapi turut memberi kesan terhadap maruah dan reputasi seorang Perdana Menteri di mata rakyat Malaysia.
Malah, saman sivil yang difailkan oleh Muhammed Yusoff Rawther berhubung dakwaan serangan seksual itu dilihat bakal menjejaskan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap kestabilan pentadbiran negara.
“Sehubungan itu, Pemuda PN (Perikatan Nasional) mendesak agar PMX mengambil cuti sementara bagi memberikan ruang yang sepenuhnya kepada proses perbicaraan mahkamah berjalan secara adil, telus dan saksama tanpa sebarang campur tangan kuasa eksekutif.
“Kami juga mencadangkan agar Timbalan Perdana Menteri 1 atau Timbalan Perdana Menteri 2 untuk memangku jawatan Perdana Menteri bagi memastikan kelangsungan pentadbiran negara berjalan lancar sehingga kes ini diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar dalam pada itu menegaskan bahawa pihaknya berpegang teguh kepada prinsip integriti, akauntabiliti, dan kedaulatan undang-undang negara ini.
“Justeru, kami menggesa agar semua pihak menghormati keputusan mahkamah dan menyeru agar PMX berjiwa besar untuk memelihara integriti jawatan Perdana Menteri demi kepentingan negara dan rakyat,” katanya.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, termasuk sama ada beliau mempunyai kekebalan daripada tindakan undang-undang.
Lapan persoalan itu termasuk di bawah Artikel 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang Perdana Menteri yang sedang berkhidmat menikmati kekebalan terhad daripada tindakan undang-undang berkaitan dakwaan salah laku peribadi yang berlaku sebelum pelantikannya.
Hakim, Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas mendapati tiada satu pun daripada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikemukakan pasukan pembelaan Anwar menimbulkan sebarang persoalan undang-undang perlembagaan yang nyata, substantif atau boleh diadili. – HARAKAHDAILY 5/6/2025











