PM wajib bercuti menjelang prosiding 16 Jun

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan bahawa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, wajib mengambil cuti sementara daripada menjalankan tugas rasmi menjelang prosiding saman sivil oleh Muhammad Yusoff Rawther yang dijadual bermula pada 16 Jun ini.

- Advertisement -

Menurut beliau, langkah ini bukan sekadar pilihan, tetapi suatu kewajipan moral dan tanggungjawab politik bagi mengelakkan sebarang prejudis terhadap institusi Perdana Menteri serta menjaga maruah negara di peringkat antarabangsa.

“Kes ini bukan kes kecil. Ia melibatkan dakwaan moral terhadap Perdana Menteri yang sedang memegang tampuk kuasa. Untuk membiarkan beliau terus berperanan seperti biasa ketika prosiding sedang berjalan adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan amat memalukan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan bahawa pembangkang ketika era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak pernah mencadangkan supaya beliau bercuti sewaktu tercetusnya isu 1MDB, meskipun pada ketika itu belum ada perbicaraan di mahkamah.

“Kalau ketika itu pembangkang mendesak cuti atas dasar siasatan yang masih berjalan, sekarang lebih wajar lagi seorang Perdana Menteri bercuti apabila kes saman sivil berkaitan isu moral sudahpun dibawa ke mahkamah terbuka,” ujarnya.

Sebagai langkah interim, beliau mencadangkan agar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilantik sebagai pemangku Perdana Menteri sepanjang tempoh cuti tersebut bagi memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan berjalan lancar tanpa gangguan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini menetapkan tarikh 16 Jun sebagai permulaan prosiding penuh kes saman sivil yang difailkan oleh Yusoff Rawther terhadap Perdana Menteri berhubung dakwaan insiden lampau. – HARAKAHDAILY 5/6/2025

- Advertisement -