Bantu penoreh atasi masalah musim hujan

- Advertisement -

PADANG TERAP: Para penoreh getah telah diberi pendedahan untuk mengatasi masalah ketika di musim hujan yang umum mengetahui akan menjejaskan pendapatan golongan berkenaan.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Padang Terap, Ustaz Nurul Amin Hamid memaklumkan, pendedahan itu sebagai inisiatif untuk membantu para penoreh getah khususnya di dalam parlimennya.

“Saya menjemput wakil syarikat HISKA Technology dari Mentakab, Pahang, untuk mengadakan taklimat dan sesi demontrasi penggunaan pembeku getah berjenama HISKA,” jelasnya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini.

Jelas Nurul Amin, inisiatif tersebut dapat membantu para pekebun kecil RISDA dan para penoreh lain, bagi memastikan getah mereka cepat beku untuk dijual segera kepada peraih getah.

“Ini salah satu solusi ketika musim hujan. Sekarang pun cuaca tak menentu dan ini boleh membantu mereka daripada hilang pendapatan terutama di musim hujan,” tambah beliau.

Dalam pada itu, katanya, produk pembeku getah HISKA itu pernah digunakan oleh RISDA sedikit masa lalu tetapi dihentikan atas faktor kewangan.

Program yang diadakan di kebun getah milik Ahmad Hifni Ismail, katanya, mendapat sambutan menggalakkan dari para penoreh getah berhampiran dan persekitaran.

Justeru beliau mengharapkan usaha itu dapat menjadi pemudah cara kepada golongan penoreh getah dan membantu menyelesaikan permasalahan mereka.

Selain wakil HISKA Technology, Hisham Karim, program itu turut dihadiri Pegawai RISDA Mukim Batang Kiri, Azmir Abdul Rahman. – HARAKAHDAILY 5/6/2025

- Advertisement -