
SETIAP kali musim muktamar pemilihan tiba, hati saya sering terusik dengan satu persoalan besar iaitu siapakah yang bakal kita amanahkan untuk memimpin jemaah ini?
Sebagai ahli biasa dalam PAS, saya bukan siapa-siapa dalam struktur utama parti. Tetapi saya percaya, walaupun saya bukan tokoh, saya tetap punya tanggungjawab untuk menilai, mempertimbang dan berdoa agar yang terbaik dipilih untuk memikul amanah ini.
Kepimpinan dalam PAS bukan seperti jawatan dalam organisasi biasa. Ia bukan lambang kejayaan, bukan tempat berlumba-lumba mencari nama. Ia adalah bebanan yang akan dipersoal di hadapan Allah. Lebih tinggi kedudukan, lebih besar bebanan yang dibawa.
Saya masih ingat pesanan Almarhum Tan Sri Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berkata, jawatan itu bukan untuk dicari, tetapi jika datang kepadanya tanpa diminta dan dia layak, maka itu rezeki dengan tanggungjawab, bukan kemuliaan.
Begitu juga Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man juga berkata, siapa yang meminta-minta jawatan, dia akan kalah.
Setiausaha Agong PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula berkata, jika dalam parti lain berebut jawatan, namun dalam PAS pula berbeza, mereka berebut untuk menolak jawatan kerana tidak mahu menanggung amanah besar sebagai seorang pemimpin.
Namun hakikatnya, tarikan kepada kedudukan boleh hadir dalam pelbagai bentuk. Populariti, sokongan akar umbi, jaringan politik semuanya boleh jadi ujian. Saya bukan pesimis. Tetapi saya berhati-hati, kerana sejarah telah menunjukkan kepada kita bahawa ramai yang hebat ketika tidak berjawatan, tetapi berubah bila diberi kuasa.
PAS hingga hari ini masih dilihat memiliki sistem pemilihan yang lebih tenang berbanding parti lain. Kita masih ada Majlis Syura Ulama, kita masih ada budaya tarbiah dan usrah.
Tetapi realiti semasa menuntut kita lebih berwaspada. Media sosial telah membuka ruang kepada budaya populariti, bukan lagi kesolehan yang diuji. Kadang-kadang saya tertanya, adakah kita masih memilih kerana nilai atau kerana wajah yang selalu kita lihat di layar?
Pemilihan dalam parti bukan sekadar soal siapa menang atau siapa kalah, tetapi soal kesinambungan kerja-kerja dakwah dan siasah.
Kita bukan memilih pemimpin untuk kempen pilihan raya sahaja. Kita memilih mereka yang akan memimpin solat hajat, menadah kitab, memimpin muktamar dan mengarahkan jentera dakwah dan kebajikan.
Kita memilih mereka yang akan menegur dan ditegur, yang tahu menunduk di hadapan ulama dan merendah diri di hadapan rakyat. Saya secara peribadi lebih yakin dengan pimpinan yang tidak menonjolkan diri, tetapi bekerja dalam diam.
Yang tidak perlu lobi atau ‘kem’ tertentu untuk mengangkat mereka. Yang hadir di majlis ilmu walaupun tidak dijemput khas. Yang tidak meminta, tetapi diminta. Yang tidak sibuk di pentas, tetapi tetap dihormati di saf jemaah subuh.
Kita sebagai ahli jangan mudah terpedaya dengan persepsi. Popular tidak semestinya layak. Petah berkata-kata belum tentu kuat jiwa. Berani menegur belum tentu taat kepada syura. Kita perlu kembali kepada nilai-nilai asal perjuangan PAS, thiqah kepada pimpinan, jujur dalam amal jamaie dan takut kepada Allah lebih daripada takut kepada manusia.
Saya tidak kisah siapa yang akan menang nanti. Tapi saya sangat kisah siapa yang boleh kekal ikhlas selepas menang. Adakah dia akan terus bersama rakyat, terus bertahajud, terus tawaduk dan tidak berubah dengan kuasa?
Akhirnya, kita semua akan ditanya di hadapan Allah bukan sekadar siapa yang kita pilih, tetapi kenapa kita pilih dia? Kerana dalam PAS, pimpinan bukan satu anugerah. Ia adalah amanah. Dan amanah itu akan ditanya, satu persatu. – HARAKAHDAILY 5/6/2025











