Siti Hajar: Inspirasi muslimat sepanjang zaman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menyifatkan Siti Hajar bukan sekadar ibu kepada Nabi Ismail AS, bahkan merupakan simbol wanita luar biasa yang menjadi inspirasi sepanjang zaman.

Menurutnya, kisah Siti Hajar mengandungi pengajaran mendalam, khususnya kepada kaum wanita, dalam menghadapi ujian dan menzahirkan kebergantungan mutlak kepada Allah SWT dengan penuh kebijaksanaan dan strategi.

“Dalam menghadapi ujian berat, ditinggalkan bersama bayi di padang pasir yang tandus dan sepi, beliau menunjukkan betapa pentingnya wanita berfikir secara strategik, bertindak bijak, dan bergantung sepenuhnya kepada Allah,” tulisnya.

Ustazah Nuridah berkata, antara pengajaran besar daripada kisah Siti Hajar ialah keberaniannya bertanya demi kefahaman ketika berdepan dengan Nabi Ibrahim AS yang meninggalkannya tanpa memberikan jawapan jelas.

“Hajar terus bertanya hingga yakin bahawa ia adalah perintah Allah. Apabila jelas padanya hal itu, beliau terus reda dan meletakkan kepercayaan penuh kepada Allah.

“Beliau tidak hanya menerima realiti tetapi menghadapinya dengan penuh kekuatan. Kesusahannya sangat nyata, mendaki bukit, kehausan, dan kehilangan sokongan, tetapi pergantungannya pada Allah tidak pernah putus,” terangnya.

Katanya, tindakan Hajar yang berlari ulang-alik antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali dalam usaha mencari air bagi anaknya, kini disyariatkan dalam ibadah haji sebagai bentuk usaha berulang yang penuh hikmah.

“Beliau tidak hanya menunggu keajaiban, tetapi bertindak. Inilah gambaran wanita yang tidak hanya pasrah, tetapi bangkit berusaha mencari solusi.

“Dalam keletihan dan kehabisan sumber, Siti Hajar tetap menjaga hatinya, bersangka baik terhadap Allah. Beliau yakin Allah tidak akan sia-siakan hamba-Nya,” ceritanya.

Menurut beliau, keyakinan itu selari dengan sabda Nabi SAW dalam hadis qudsi: “Aku menurut sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku.”

“Maka hasil daripada sangkaan baik itu, Allah berikan yang terbaik, dari tanah gersang muncul mata air zamzam, dari tempat sunyi menjadi Makkah yang makmur, dan dari keturunan Ismail lahirlah Nabi Muhammad SAW,” jelasnya.

Tambahnya, apabila mata air zamzam mula terpancar dari bawah kaki Nabi Ismail AS, Siti Hajar segera bertindak menyekat dan menakung aliran air tersebut agar tidak melimpah ke dalam pasir.

“Dalam satu riwayat sahih, Nabi Muhammad SAW bersabda: ‘Semoga Allah merahmati ibu Ismail. Jika dia tidak menakung air itu (dengan tangannya), nescaya air zamzam akan menjadi mata air yang mengalir deras.’

“Hajar menggenggam air itu dengan kedua-dua tangannya lalu menakungnya dan membina batas di sekelilingnya menggunakan tanah dan batu yang ada.

“Inilah tindakan pantas, refleks keibuan yang cerdas dan penuh hikmah – tidak hanya menyelamatkan nyawa mereka, malah menjadi permulaan kepada kemakmuran Makkah sehingga ke hari ini,” ulasnya.

Ustazah Nuridah turut menekankan bahawa Siti Hajar seorang wanita yang berfikir di luar kotak dan penuh hikmah apabila memadamkan jejak perjalanannya bersama Nabi Ibrahim AS menuju ke lembah Makkah sebagai langkah keselamatan.

“Tindakan ini dilakukan agar orang lain tidak dapat mengesan laluan mereka dan mengetahui lokasi mereka.

“Kemungkinan besar, ini dilakukan untuk melindungi mereka daripada ancaman musuh, perompak, atau sesiapa yang mungkin membahayakan anak kecil dan ibunya yang ditinggalkan bersendirian.

“Ia menunjukkan betapa Hajar sentiasa berwaspada dan bertindak secara strategik demi kelangsungan hidup dan keselamatan mereka,” terangnya.

Beliau berkata, usaha dan kecekalan Siti Hajar akhirnya menjadi latar kepada doa Nabi Ibrahim AS yang dimakbulkan agar bumi Makkah menjadi tempat yang makmur, subur dan penuh ibadah.

“Maka, kesimpulannya, Siti Hajar adalah gambaran wanita yang bukan hanya kuat secara fizikal, tetapi juga tajam fikiran, tinggi emosi, dan kukuh spiritual.

“Beliau adalah inspirasi muslimat masa kini – wanita yang bukan sekadar bertahan, tetapi mencipta perubahan,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/6/2025

- Advertisement -
- Advertisement -