
MACHANG: Seramai 667 armalah di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Temangan menerima sumbangan khas sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba.
Majlis Penyampaian Sumbangan Ad-Hoc itu disempurnakan Timbalan Menteri Besar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Menurutnya, sumbangan berbentuk ‘one-off’ itu diberikan sebagai inisiatif meringankan beban golongan penerima, khususnya menjelang Hari Raya Aidiladha yang penuh keberkatan.
Katanya, program ini diadakan sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan armalah di negeri ini termasuk dalam DUN Temangan.
“Saya berharap sumbangan ini dapat menceriakan sambutan Aidiladha mereka,” ujar beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada majlis itu.
Sehubungan itu, Pusat Khidmat ADUN Temangan turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan termasuk para Penghulu Mukim dan petugas lapangan.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada seluruh kakitangan Pusat Khidmat, para Penghulu Mukim serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung,” katanya.
Tambah beliau lagi, program ini diharap dapat menyuntik semangat kebersamaan dan memperkukuh ikatan antara pimpinan dan rakyat, selari dengan semangat Aidiladha yang menekankan nilai pengorbanan dan kasih sayang sesama insan. – HARAKAHDAILY 5/6/2025











