Ajaran sesat boleh disekat, tapi LGBT dibiarkan?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa agar mengambil tindakan tegas terhadap gerakan lesbian, gay, biseksual, transgender dan kelompok mempersoal identiti seksual diri (LGBTQ) serta rangkaian premis hiburan yang menyokong budaya songsang.

- Advertisement -

Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Masridzi Sat berkata, jika ajaran sesat seperti GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) boleh ditumpaskan hingga ke akar umbi, tidak ada sebab gerakan LGBTQ tidak boleh ditangani dengan pendekatan yang sama tegas.

“Mereka bukan sahaja berkumpul dan menuntut hak sama rata, tetapi turut memiliki rangkaian kelab malam dan pusat hiburan yang banyak yang diberikan lesen oleh pihak berkuasa,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Masridzi turut mempersoalkan sikap kerajaan yang dilihat berkompromi dalam isu itu, sedangkan undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) boleh digunakan terhadap ajaran sesat dalam kalangan umat Islam.

“Golongan sesat Melayu Islam boleh bertegas guna SOSMA, tapi untuk tauke premis maksiat dan munkar yang dimiliki oleh orang-orang kafir boleh diberikan lesen dan layanan yang baik. Ini jelas satu bentuk pilih kasih yang nyata,” katanya.

Beliau berkata, konsep negara Madani yang dilaungkan kerajaan akan kehilangan makna sekiranya tiada perbezaan jelas antara yang hak dan batil, manakala undang-undang tidak dikuatkuasakan secara adil.

“Tiada indahnya negara Madani jika hak dan batil dicampur aduk, undang-undang tidak dapat berlaku adil, rasuah dan salahguna kuasa menjadi-jadi,” katanya.

Justeru, Masridzi menggesa supaya semua ‘kubu-kubu’ gerakan songsang ini dihapuskan sepenuhnya tanpa kompromi demi menjaga maruah dan keselamatan negara.

“Diharapkan sebelum banyak lagi bala bencana menimpa negara kita golongan songsang yang dilaknat begini dan kubu-kubu gerakan mereka mesti dihapuskan dengan tegas hingga ke akar umbinya dengan tiada kompromi.

“Tapi jika terus dibiarkan dan diberikan lesen kegiatan mereka ia akan mengundang lebih banyak lagi bala bencana yang boleh memusnahkan nyawa, agama, bangsa dan negara kita,” katanya.

Terdahulu, polis merakam percakapan dua individu daripada Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM) petang semalam, bagi membantu siasatan kes berkaitan penganjuran program LGBT pada 21 Jun ini di Petaling Jaya.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, sebanyak 188 laporan polis diterima daripada pelbagai pihak di seluruh negara sejak isu itu tular minggu lalu. – HARAKAHDAILY 5/6/2025

- Advertisement -