
KOTA BHARU: Bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz meninggalkan Umno bukan sesuatu yang mengejutkan, sebaliknya telah dirancang bersama pimpinan tertinggi parti itu.
Menurutnya, walaupun akar umbi menzahirkan rasa tidak puas hati, pimpinan Umno dikatakan telah memahami situasi berkenaan dan tahu bagaimana untuk ‘mengurus kemarahan’ tersebut.
“Tengku Zafrul berterima kasih kepada Presiden Umno kerana tidak marah dan memahami. Semua ini sudah dibincang dan dirancang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook semalam.
Beliau turut mendakwa Umno kini tidak lagi bergerak berdasarkan suara hati ahli atau akar umbi, sebaliknya menurut arahan daripada ‘kuasa luar’ yang mengawal hala tuju parti.
“Sebab itu, Perhimpunan Agong Umno (PAU), MKT (Majlis Kepimpinan Tertinggi), BN (Barisan Nasional) dan lain-lain semua terpaksa ikut skrip yang disusun ‘Cikgu’,” katanya secara sinis.
Annuar berkata, kenyataan Tengku Zafrul serta isu titah diraja yang dikaitkan dengan adendum turut menunjukkan langkah-langkah politik utama telah disusun dengan rapi dan pelaksanaannya berlaku mengikut skrip tertentu.
Katanya, Umno kini tidak lagi memperjuangkan kehendak sebenar ahli, tetapi menjadi alat kepada pihak berkepentingan.
“Perjalanan Umno bukan lagi mengikut suara hati ahli akar umbi. Ia di-‘remote control’ oleh kuasa luar,” ujarnya yang kini merupakan Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat.
Sebelum ini, Tengku Zafrul mengumumkan keluar daripada Umno dan menyatakan rasa terima kasih kepada Presiden parti kerana memahami keputusannya.
Pada 1 Jun lalu, beliau melahirkan rasa gembira apabila Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak marah dengan keputusannya untuk menyertai PKR.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu turut menzahirkan penghargaan kepada rakan-rakan seperjuangannya dalam Umno, namun menegaskan mahu meneruskan hasratnya menyertai PKR walaupun dikritik segelintir pihak. – HARAKAHDAILY 5/6/2025











