Ulama perlu pimpin umat ke arah perubahan – Nik Amar

Ilmu fardu ain perlu dibingkai dengan kesedaran umat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah menegaskan bahawa ulama tidak boleh hanya mengajar fardhu ain semata-mata, sebaliknya perlu tampil sebagai pemimpin pemikiran dan perubahan umat.

- Advertisement -

Beliau berkata, Imam Khomeini pernah menyindir bahawa ‘ulama kita ini ulama haid dan nifas’, bermaksud bukan kerana ilmu itu tidak penting, tetapi bagi membangkitkan kesedaran bahawa ilmu syarak mesti disulami dengan kesedaran semasa.

“Apa gunanya seorang lelaki berusia 60 tahun masih diajar darah haid dan istihadhah, sedangkan dia tidak pernah tahu bahawa sistem ekonomi sedang merosakkan hidupnya, anak cucunya terjebak dadah, negaranya dijual secara senyap?” ujar beliau dalam media sosial miliknya.

Menurut Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan itu, ilmu fardhu ain perlu dibingkai dengan kesedaran umat, antaranya mengaitkan pengajaran zakat dengan jurang kaya miskin, dan pengajaran solat dengan nilai integriti serta keadilan dalam pentadbiran.

“Mengajar haid dan nifas? Bicarakan juga tentang maruah wanita yang dieksploitasi. Kita sendiri kadang kala gagal menunjukkan bahawa Islam itu mampu menyelesaikan masalah umat. Kita terlalu defensif, terlalu lama bertahan, sibuk menjawab tohmahan, hingga kita lupa untuk mempersembahkan penyelesaian,” jelasnya.

Beliau turut menyentuh pendekatan politik DAP yang menurutnya mempunyai pelan tersendiri dan terus melaksanakannya sewaktu mentadbir, berbeza Menteri Melayu-Islam pula berdebat panjang perkara remeh seperti warna kasut sekolah selepas memasuki kerajaan.

Mengingatkan kembali kejayaan PAS menawan Kelantan pada tahun 1990, beliau berkata perubahan berlaku walaupun ketika itu tiada pelan rasmi, kerana 90 peratus idea perubahan datang daripada almarhum Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri.

“Beliau tidak tunggu biro politik, tidak tunggu kertas dasar. Ilhamnya mengalir daripada kefahaman agama yang mendalam dan keikhlasan memimpin. Rumah tiga bilik, pengharaman premis judi, pemerkasaan Islam dalam pentadbiran, semuanya hasil pandangan Tok Guru.

“Namun, tidak semua zaman akan melahirkan seorang Tok Guru. Maka sebab itu kita perlu bersiap. Kemenangan hari ini mesti disambut dengan perancangan. Kalau dahulu Tok Guru bergerak dengan kebijaksanaan peribadi, hari ini kita perlu bina sistem.

“Kita mesti ada ‘blueprint’ yang boleh dibuka di meja menteri, bukan sekadar slogan semangat,” kupasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor, Kelantan.

Mohd Amar juga sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa tahun 2026 ialah tahun pilihan raya umum, sama ada awal, pertengahan atau hujung tahun.

“Maka kalau Allah takdirkan kita menang, apa yang kita hendak buat? Apa satu perkara utama yang akan kita laksanakan? Kita tidak boleh lagi masuk ke Putrajaya tanpa pelan.

“Dan di sinilah peranan besar Dewan Ulamak. Mereka bukan sekadar tempat rujuk fatwa, tapi perlu menjadi ‘think tank’ gerakan Islam. Mereka mesti tampil bukan hanya menjawab hukum, tetapi merangka dasar negara,” terangnya.

Beliau berkata, ulama tidak boleh lagi dilihat sebagai guru fardhu ain semata-mata kerana pendekatan lama itu tidak mampu membawa umat ke hadapan.

“Tiada salahnya mengajar hukum wuduk dan tayammum, tetapi kalau itulah satu-satunya isi pengajian bertahun-tahun, maka umat tidak akan berkembang. Ulama perlu mula menyentuh isu-isu semasa, sosial, ekonomi, pendidikan, urus tadbir, bahkan geopolitik dunia Islam,” terangnya.

Katanya, sejarah mencatatkan bagaimana Sayyidina Ibn Abbas menegur seorang lelaki Iraq yang datang dari jauh untuk bertanya mengenai hukum darah nyamuk, sedangkan di negerinya para ulama ditindas dan dibunuh oleh Hajjaj Yusuf.

“Ibn Abbas tidak terus menjawab. Sebaliknya beliau menegur, ‘Kamu datang dari jauh bertanya tentang darah nyamuk, sedangkan di negerimu darah para ulama ditumpahkan oleh Hajjaj Yusuf, kamu tidak bertanya mengenainya?’

“Ulama mesti tahu keutamaan. Kisah ini mengingatkan kita bahawa membisu terhadap kezaliman adalah pengkhianatan kepada amanah ilmu,” tegasnya mengambil ibrah daripada kisah sejarah tersebut.

Menurutnya, itulah peranan sebenar ulama, memandu umat, menyuluh jalan, menegur kezaliman, membangkitkan kesedaran dan memimpin manusia ke arah dunia yang lebih adil serta kepada akhirat penuh sejahtera.

“Jika tidak, masyarakat akan mencari panduan dari tempat lain. Dan ketika itu, ulama akan dipinggirkan, bukan kerana umat menolak agama, tetapi kerana agama tidak lagi menyentuh persoalan hidup mereka,” katanya.

Mohd Amar berkata, sudah sampai masanya pendekatan baharu diambil dan tidak mengulangi kesilapan lalu.

“Jangan kita hanya jadi penyampai ilmu tanpa menjadi penyambung perjuangan Nabi. Kemenangan yang kita dambakan bukan hanya untuk menukar kerajaan, tetapi untuk menegakkan rahmat Allah di atas muka bumi ini.

“Dan ia bermula dengan kesedaran, perancangan dan keberanian ulama untuk keluar dari zon selesa dan berdiri bersama umat di medan fikir, di medan dakwah, dan juga di medan perubahan,” katanya.

Beliau berkata, persoalan mengapa perlunya politik Islam atau kerajaan Islam sebenarnya adalah jeritan halus dari jiwa umat yang sedang hanyut dalam kekalutan zaman.

“Islam datang bukan hanya untuk masjid dan madrasah, tetapi juga untuk istana, pasar raya, bilik berita, parlimen dan kementerian. Islam bukan hanya mengajarkan solat dan puasa.

“Islam membawa sistem kehidupan yang lengkap. Ia mesti mengalir ke dalam sistem pentadbiran, dasar pendidikan, urus tadbir ekonomi dan pengurusan masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/6/2025

- Advertisement -