Altimate tersasar fahami isu dalam kes Yusoff-Anwar

- Advertisement -

ALOR SETAR: Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau dikenali sebagai Altimet telah tersasar dari memahami isu membabitkan bekas penyelidik Dato’ Seri Anwar Ibrahim iaitu Muhammed Yusoff Rawther.

- Advertisement -

Pengamal undang-undang, Mardhiyyah Johari menasihati bekas artis itu agar lebih memahami sesuatu isu sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh menjerat dirinya sendiri, apatah lagi sehingga menyentuh bab akidah dan sebagainya.

“Tau (tahu) tak dia tengah cakap pasal apa ni? Keluar sampai akidah bagai berkenaan isu Muhammed Yusoff Rawther. Selaku penyanyi lagu ‘hoi hoi ya hoi, siapa sokong penyamun’, mungkin beliau perlu diingatkan.

“Bahawa setiap warganegara adalah sama di sisi undang-undang,” kata beliau yang juga Ketua Ameerah Dewan Muslimat PAS Malaysia dengan merujuk Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundur itu juga mempersoalkan bagaimana kebenaran sesuatu dakwaan dapat dibuktikan jika tidak diberi peluang untuk dibicarakan.

“Kes Yusoff Rawther tidak diteruskan di bawah undang-undang jenayah semasa Tommy Thomas menjadi Peguam Negara yang juga ketika isteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Sebab itu beliau failkan saman sivil. Adakah patut setiap dakwaan ke atas Dato’ Seri Anwar terus diputuskan sebagai menipu atau konspirasi tanpa diberi peluang untuk ia diadili di mahkamah?” soal beliau lagi.

Prinsip keadilan manakah persoalnya, boleh ditunjukkan sebagai mewajahi pihak kerajaan yang memperjuangkan reformasi, jika apa sahaja dakwaan ke atas pemimpin terbabit dinafikan proses undang-undang seperti lazimnya ditempuh warganegara lain.

“Kes sivil bukan macam kes jenayah. Kes jenayah memerlukan kehadiran tertuduh setiap kali sebutan atau perbicaraan kes. Kes sivil tidak memerlukan kehadiran Plaintif atau Defendan melainkan semasa keterangan mereka diperlukan.

“Keterangan mereka boleh habis dalam masa satu hari atau beberapa hari sahaja, apatah lagi mengambil kira posisi Defendan. (Dan) ia boleh difahami oleh mahkamah jika proses memberi keterangan perlu dipercepatkan.

“Sementara prosiding yang lain boleh diuruskan oleh peguam,” jelas beliau panjang lebar dengan turut menegaskan bahawa tindakan saman Yusoff Rawther terhadap Dato’ Seri Anwar adalah kes sivil, bukan kes jenayah.

Justeru hujah Mardhiyyah, kehadiran Perdana Menteri itu yang sebelum ini memohon imuniti, adalah tidak diperlukan dalam setiap kali prosiding kes berlangsung dan tidak berbangkit kes ini mengganggu pentadbiran negara.

Tetapi kata Mardhiyyah lagi, isu ini cuba dialihkan kepada kisah Muhammed Yusoff Rawther pada lapan tahun lalu iaitu pada 2017 mengenai pandangannya dalam isu Palestin, sedangkan pendirian masyarakat dunia juga berubah pasca Oktober 2023.

“Usaha gigih untuk ‘spin’ isu ini terlalu melucukan. Ibarat nak mengatakan seseorang itu tidak berhak mendapat keadilan undang-undang, jika (dia) mempunyai pegangan atau pemikiran yang berbeza.

“Adakah seorang transgender berhak dinafikan keadilan proses undang-undang jika dia mendakwa dizalimi oleh majikannya? Begitu juga, adakah seorang bukan-Islam boleh dinafikan haknya kerana akidahnya berbeza? Tak boleh Altimet. Tak boleh,” bidas beliau.

Jelas Mardhiyyah juga, kes ini sama sekali sebenarnya tidak menarik minat beliau melainkan satu demi satu reaksi aneh secara undang-undang tiba-tiba berlaku.

Ujarnya, dari kehendak untuk kes tidak diteruskan di bawah undang-undang jenayah dan ujian poligraf tidak diserahkan, Yusoff Rawther juga telah ditahan menghampiri tarikh perbicaraan kes ini bakal berlangsung.

Mardhiyyah menyindir mengenai isu tiada lubang kunci kereta pada kenderaan tersebut yang didakwa dibuka Yusoff Rawther secara manual dalam satu perbicaraan kes berkaitan dadah dan senjata cuba dituduh terhadap pemuda itu.

“Di situ sahaja (kes tersebut) PMX memohon immuniti atau kekebalan, sesuatu yang tidak ada dalam undang-undang Malaysia dan secara jelas terlalu canggung untuk mengatakan itu satu sikap yang adil,” tegasnya lagi.

Terdahulu Syed Ahmad dalam ulasannya mendakwa kononnya
Perikatan Nasional (PN) berdiam diri terhadap sokongan terbuka seorang individu pro-Israel iaitu Yusuff Rawther, yang kini mengambil tindakan undang-undang terhadap Perdana Menteri.

Sikap PN itu disifatkan Altimate sebagai satu bentuk hipokrasi politik dan pengkhianatan terhadap perjuangan Palestin, serta mendakwa tindakan Yusoff membawa Anwar ke mahkamah ketika negara berdepan cabaran ekonomi global adalah tidak bertanggungjawab dan bermotif peribadi.

“Ini bukan hanya soal undang-undang peribadi. Ini soal prinsip dan integriti. Yusoff pernah secara terbuka menyatakan sokongan kepada Israel dan memperlekeh perjuangan rakyat Palestin dalam surat terbukanya pada 2017.

“PN sering menjaja imej sebagai pejuang Islam tetapi kini secara senyap bersekongkol dengan individu yang berdiri bersama Israel. Tiada penafian, tiada penjarakan. Cuma diam. Dan diam itu memberi makna sokong,”dakwa Altimate. – HARAKAHDAILY 4/6/2025

- Advertisement -