
KUANTAN: Tindakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bilut, Lee Chin Chen yang secara terbuka mencabar keputusan kerajaan dan memaksa penjelasan menteri Kabinet, sehingga mencetuskan persepsi bahawa DAP mendominasi kerajaan campuran.
Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, tindakan wakil rakyat DAP itu menggambarkan sikap ‘Abang Besar’ yang seolah mengawal kerajaan, manakala parti lain dalam kerajaan iaitu PKR, PAN dan Umno hanya ‘boneka’ yang tunduk kepada tekanan DAP.
“Tindakan ini bukan sahaja biadab, malah mengesahkan apa yang selama ini rakyat sudah mula sedar bahawa DAP adalah dalang sebenar di sebalik kerajaan hari ini.
“Wakil rakyat Bilut berani bersuara bukan kerana prinsip, tetapi kerana dia tahu bahawa suara DAP adalah suara yang paling dominan dalam kerajaan campuran yang rapuh ini. Menteri-menteri daripada parti-parti lain seperti PKR, DAP, malah Umno sendiri hanya mampu tunduk dan diam.
“Mereka bukan lagi pejuang suara rakyat, sebaliknya menjadi boneka yang hanya mengangguk kepada tekanan DAP,” katanya Ketua Penerangan Pemuda PAS Pahang itu dalam kenyataan media semalam.
Terdahulu, Chin Chen menggesa supaya polis menghentikan siasatan terhadap ketua pemuda parti itu, Woo Kah Leong berhubung isu karikatur yang dikatakan sebagai tindakan melampau dan tidak menghormati proses undang-undang.
Ahmad Azlan mempersoalkan sama ada ini adalah reformasi sebenar atau pemerintahan autoritarian bersembunyi di sebalik konsep ‘Madani’ yang dijanjikan kerajaan.
“Rakyat semakin muak melihat kerajaan yang tidak stabil yang ditarik ke sana sini oleh kehendak satu parti yang tamak kuasa. Kami ingin mengingatkan rakyat bahawa keseimbangan kuasa amat penting dalam sistem demokrasi.
“Jika satu parti sahaja terlalu berkuasa dalam kerajaan, maka suara rakyat akan tenggelam. Apa yang berlaku hari ini adalah amaran keras bahawa Malaysia sedang diheret ke arah pemerintahan satu parti yang mengawal segalanya dari belakang tabir,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya mendesak semua menteri Kabinet dan pimpinan parti komponen kerajaan supaya berani bersuara dan tidak menjadi ‘pak turut’ semata-mata demi kelangsungan jawatan.
“Jika benar kalian mewakili rakyat, buktikan dengan tindakan bukan dengan tunduk kepada tekanan DAP semata-mata demi kelangsungan jawatan. Kerajaan ini sudah hilang integriti, hilang prinsip, dan hilang hala tuju.
“Adakah Kerajaan Pahang turut terpalit dengan sikap gangster dan abang besar seperti yang ditonjolkan oleh wakil rakyat Bilut dari DAP ini? Fikir-fikirkan…,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/6/2025











