Hutang negara capai RM1.3 trilion di bawah Madani

Datuk Ahmad Amzad Hashim
- Advertisement -

KEMAMAN: Hutang negara yang kini mencecah RM1.3 trilion di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan pengurusan ekonomi semasa.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menyifatkan kerajaan sekarang terlalu sibuk mencanangkan angka pelaburan asing berbilion ringgit, sedangkan rakyat terus merasai beban ekonomi yang tidak pernah reda.

“Semasa era pemerintahan Perikatan Nasional (PN), kita menyelesaikan masalah besar negara ketika darurat. Ketika itu, rakyat tidak dapat keluar bekerja, majikan pula mahu memberhentikan pekerja.

“Maka kita sediakan peruntukan besar untuk pastikan pekerjaan rakyat dapat dikekalkan. Memang belanjawan ketika itu tinggi, tetapi ia berasaskan keperluan rakyat dan pemulihan negara.

“Ekonomi negara berjaya dibuka semula dan ketika Datuk Seri Anwar mengambil alih, beliau mewarisi ekonomi yang sedang berada pada landasan terbaik,” katanya dalam satu ceramah baru-baru ini.

Beliau berkata, kerajaan terlalu ghairah mempromosikan angka pelaburan besar, tetapi gagal membuktikan kesan sebenar kepada rakyat.

“Kononnya berjaya membawa pelaburan ratusan bilion ringgit, tapi rakyat semakin tertekan dengan pelbagai polisi baharu yang meningkatkan beban hidup. Harga barang keperluan naik, subsidi ditarik dan pelbagai insentif rakyat dikurangkan.

“Rakyat memilih kerajaan untuk menjamin kebajikan dan kesejahteraan, namun hari ini yang berlaku adalah sebaliknya. Janji tidak ditepati, rakyat pula terus menanggung masalah demi masalah,” katanya.

Beliau juga menyelar pelaksanaan Akta Gaji Minimum yang menurutnya tidak mampu menyelamatkan rakyat daripada terus dihimpit kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Akta gaji minimum kononnya mahu membantu, tetapi nilai gaji tersebut tidak mampu menampung peningkatan kos sara hidup yang kian mendadak.

“Inilah yang berlaku hari ini, rakyat bingung, bagaimana kononnya pelaburan masuk, ekonomi baik, tetapi kerajaan gagal mempertahankan skim kebajikan dan subsidi rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/6/2025

- Advertisement -