Pengampunan Anwar tidak lalui proses yang sah?

Jabatan Peguam Negara perlu buktikan kewujudan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Diraja

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara digesa untuk segera tampil memberikan bukti sahih berhubung dakwaan bahawa Mesyuarat Lembaga Pengampunan Diraja dikatakan telah memutuskan isu berkaitan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

- Advertisement -

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendesak jabatan itu meyakinkan bahawa pengampunan itu telah benar-benar diadakan mengikut prosedur perlembagaan dan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Menurut beliau, dakwaan yang telah dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kedudukan sebenar hal tersebut adalah perkara sangat serius dan tidak boleh dipandang ringan.

“Tun Dr Mahathir telah mengesahkan secara terbuka bahawa tiada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Diraja diadakan pada 16 Mei 2018 dan bahawa ketika itu tiada Peguam Negara kerana sedang bercuti,” ujarnya.

Datuk Tun Faisal berkata, isu ini bukanlah perkara kecil kerana ia menimbulkan persoalan besar mengenai kesahihan proses pengampunan itu sendiri dan seterusnya kesahihan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Beliau menegaskan, rakyat berhak mengetahui di manakah minit rasmi mesyuarat tersebut, sama ada mesyuarat benar-benar berlangsung pada tarikh disebutkan, dan sama ada YDPA sendiri hadir serta mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

“Tambahan pula, pada masa itu Menteri Wilayah Persekutuan belum dilantik, maka rakyat ingin tahu siapa yang hadir mewakili kementerian tersebut dan adakah Tun Dr Mahathir hadir sebagai pengganti,” ujarnya dalam kenyataan tersebut.

Beliau turut menuntut penjelasan mengenai kehadiran Tun Dr Mahathir sendiri kerana bekas Perdana Menteri itu mendakwa hanya menerima surat daripada Yang di-Pertuan Agong dan bukannya hadir dalam mesyuarat tersebut.

Datuk Tun Faisal juga mempersoalkan bagaimana Peguam Negara boleh hadir sedangkan beliau sedang bercuti, dan jika benar Peguamcara Negara yang hadir, beliau mahu melihat bukti kehadiran serta lokasi kehadiran tersebut.

Beliau turut menuntut penjelasan mengenai siapa tiga anggota lantikan lain dalam Lembaga Pengampunan Diraja dan siapa yang menjadi urusetia mesyuarat tersebut.

Tanpa dokumen rasmi, senarai kehadiran, dan bukti kukuh katanya, dakwaan ini semakin kelihatan sebagai satu pembohongan besar terhadap rakyat.

Beliau memberi amaran jika bukti sah gagal diberi, maka persoalan kesahihan pengampunan Anwar dan sah atau tidak pelantikan sebagai Perdana Menteri akan terus menghantui negara dan menjejaskan kredibiliti institusi keadilan serta sistem Perlembagaan.

“Rakyat berhak tahu kebenaran. Negara ini tidak boleh dibina atas dasar pembohongan, manipulasi undang-undang dan eksploitasi institusi Diraja. Jabatan Peguam Negara tidak boleh berdiam diri.

“Kebenaran mesti didedahkan. Jika benar dakwaan Tun Dr Mahathir, maka ini adalah salah satu skandal perundangan paling besar dalam sejarah negara,” katanya.

Datuk Tun Faisal menegaskan bahawa rakyat tidak akan menerima alasan atau jawapan yang kabur kerana kebenaran dan ketelusan adalah asas utama kepada pentadbiran berintegriti. – HARAKAHDAILY 4/6/2025

- Advertisement -