
DUNGUN: Seorang pelajar PASTI Al Mukmin Che Lijah yang sedang diuji dengan masalah kesihatan, Muhammad Aish Daniel Mohd Faizal menerima kunjungan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadli Rahmi Zulkifli.
Lawatan tersebut bukan sahaja bertujuan untuk menziarahi Muhammad Aish Daniel yang mesra dengan panggilan Adik Aish, tetapi juga untuk menyerahkan barang keperluan bagi kemudahan harian.
Mohd Fadli berharap sumbangan yang disampaikan dapat membantu meringankan beban keluarga.
“Alhamdulillah, saya dimaklumkan oleh ibunya bahawa keadaan Adik Aish semakin baik. Semoga Adik Aish terus diberi kesihatan yang baik, insya-Allah,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Sebelum ini, satu Majlis Anugerah Prestasi Murid PASTI Al-Mukmin, Che Lijah bertukar hiba apabila Adik Aish, menerima anugerah dengan didukung oleh bapanya sambil diiringi ibunya ke pentas.
Adik Aish hidupnya sempurna sebelum berubah sepenuhnya selepas disahkan menghidap radang otak pada usia enam tahun, tahun lalu.
Kini, Adik Aish tidak lagi mampu berjalan, bercakap, atau menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.
Bapanya, Mohd Faizal Mohd Kanafi, seorang tukang rumah dan ibunya, seorang suri rumah sepenuh masa tabah mengharungi ujian walaupun berat. – HARAKAHDAILY 3/6/2025











