‘Pengusaha makanan, minuman sebelum ini pun sudah terbeban’

Dato' Ariffin Deraman
- Advertisement -

MARANG: Kerajaan Persekutuan diminta untuk mempertimbangkan semula keputusan mewajibkan penggunaan Gas Petroleum Cecair (LPG) komersial tanpa subsidi seberat 14 kilogram (kg) yang dikatakan menjadi beban besar kepada peniaga kecil, terutama pengusaha makanan dan minuman.

- Advertisement -

Arahan yang berkuat kuasa 1 Mei lalu menyaksikan harga gas tanpa subsidi itu melonjak kepada RM70 setong, mencetuskan kebimbangan peniaga yang terpaksa menaikkan harga jualan demi menampung kos operasi.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Dato’ Ariffin Deraman menyifatkan keputusan kerajaan itu dibuat tanpa mengambil kira bebanan peniaga yang sudah pun berdepan dengan kenaikan harga bahan mentah dan kos operasi yang tidak menentu.

“Peniaga khususnya pengusaha makanan dan minuman sebelum ini pun sudah terbeban dengan kenaikan harga barang yang tidak menentu.

“Keadaan ini menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga jualan untuk mempastikan perniagaan mereka mendapat keuntungan yang menasabah dengan keadaan semasa.

“Sepatutnya Kerajaan Persekutuan menangguh atau menarik balik terus arahan tersebut kerana ia satu keputusan tidak matang dan separuh masak,” katanya memetik laporan Terengganu Darul Iman (TRDI).

Ariffin yang juga Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS Terengganu (HAKS) berkata, beliau sependapat dengan Pengerusi HAKS PAS Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, yang mendesak kerajaan supaya menangguhkan pelaksanaan penggunaan gas komersial tanpa subsidi ini sehingga kajian menyeluruh dapat dibuat.

Khairil Nizam dalam satu kenyataan media baru-baru ini berkata, keputusan itu memberi kesan langsung kepada peniaga kecil dan golongan berpendapatan rendah, terutamanya di kawasan luar bandar dan pinggir bandar.

“Berdasarkan pemerhatian dan laporan dari akar umbi, ramai peniaga kecil kini berdepan margin keuntungan yang semakin nipis, dan ada yang terpaksa menggantung operasi perniagaan mereka kerana tidak mampu menanggung kos yang semakin meningkat.

“Terdapat juga kajian menunjukkan hampir 40 peratus peniaga makanan kecil mengalami penurunan jualan lebih 20 peratus akibat kos dan penurunan kuasa beli pengguna,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/6/2025

- Advertisement -