Lompat parti tanda tiada perpaduan kukuh PH-BN

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Tindakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan keluar daripada Umno untuk menyertai PKR merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap rakan dalam kerajaan campuran.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Negeri Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata, tindakan Zafrul dan penerimaan PKR terhadap bekas Menteri Kewangan itu membuktikan wujud agenda tersirat dalam kalangan komponen kerajaan.

“Isu panas lagi hangat membuatkan pemimpin Umno tidak dapat duduk tenang apabila Tengku Zafrul menghantar surat pemakluman keluar Umno untuk menyertai PKR.

“Keadaan yang tidak sepatutnya berlaku seolah-olah PKR sedang membentes Umno sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Keadaan ini menggambarkan tiada perpaduan yang kukuh dalam kerajaan Madani sekarang.

“Bak kata orang tua pantang, ada peluang dibahamnya terus,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, tadi.

Beliau turut mempersoalkan kesetiaan PKR terhadap prinsip kerjasama dalam kerajaan campuran dan menyatakan bahawa parti itu kini meletakkan kelangsungan politik sendiri melebihi kepentingan negara.

“Keadaan ini juga membongkarkan betapa terdapat agenda peribadi parti tertentu untuk meletakkan survival parti mendahului kepentingan negara. Begitu juga yang dilihat berlaku semasa pemilihan PKR baru-baru ini.

“Justeru Umno perlu berfikir semula untuk berjanji setia dengan PH (Pakatan Harapan) yang semakin dilihat mengetepikan Umno. Semakin hari semakin jelas permainan PKR dan PH dengan agenda mereka yang membelakangkan prinsip perjuangan Umno,” katanya.

Justeru, beliau menyeru Umno untuk menilai semula kedudukan mereka dalam gabungan pemerintah, sambil mengingatkan agar parti itu tidak lari daripada matlamat asal perjuangan seperti mempertahankan agama, bangsa dan negara.

“Apakah perkembangan ini menggambarkan tempoh jangka hayat Kerajaan PH-BN (PH-Barisan Nasional) semakin pendek dan menuju penghujungnya? Sama-sama kita tunggu episod seterusnya.

“Apa pun perkembangannya, Umno perlu diingatkan hala tuju dan prinsip asal perjuangannya agar tidak menyimpang jauh dari landasan yang akhirnya akan merugikan agama, bangsa dan negara.

“Menyesal dahulu adalah kebaikan, menyesal kemudian tiada gunanya lagi,” katanya.

Terdahulu, Tengku Zafrul yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Ketua Umno Bahagian Kota Raja dan ahli Umno meletak jawatan dan keluar parti itu menerusi surat yang dihantar kepada pucuk pimpinan Umno.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat setelah melalui proses muhasabah diri yang panjang dengan mengambil kira faktor keserasian dan kesesuaian dalam landskap politik semasa. – HARAKAHDAILY 4/6/2025

- Advertisement -