
IPOH: Teguran tegas disuarakan terhadap kerajaan dilihat seolah-olah tidak lagi diberi perhatian secara berhemah, sebaliknya hanya mampu dibalas dengan ejekan dan penghinaan yang tidak menyumbang kepada penyelesaian.
Ketua Pembangkang Dewan Negeri (DUN) Perak, Razman Zakaria berkata, lukisan karikatur yang memaparkan dirinya sebagai badut bukan sahaja penghinaan peribadi, malah satu cubaan memperlekeh suara rakyat yang diwakilinya.
“Pada sidang DUN lepas, saya telah meminta permohonan maaf rasmi oleh Exco daripada DAP ini. Namun sehingga kini tiada permohonan maaf yang dilakukan, malah mempertahankan pula tindakan yang amat tidak wajar ini.
“Walau bagaimanapun, saya tidak berkecil hati kerana dihina sebegini rupa. Dalam dunia politik, saya sudah bersedia untuk menghadapi pelbagai ujian. Tetapi saya merasa sedih dan saya percaya ramai rakyat juga kecewa.
“Apabila ruang demokrasi dan perbezaan pandangan dibalas dengan budaya mempermain dan merendah-rendahkan,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau.
Tambah Razman, rakyat sentiasa mengharapkan para pemimpin dapat membantu mereka, tatkala berdepan tekanan ekonomi, kos sara hidup yang mencengkam, pendidikan dan kesihatan semakin menekan.
Sebaliknya, apa ditonjolkan adalah budaya politik kebudak-budakan dengan menjadikan penghinaan sebagai senjata dan kini seolah-olah ‘play victim’ atas tindakan sendiri yang tidak matang dalam berpolitik.
“Hormatilah kepada segala prosedur dan undang-undang yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa, harapan saya tiada ‘imuniti’ bakal diberikan kepada pihak yang berkenaan walaupun mereka sebagai anggota pentadbiran.
“Kepada mereka yang bertanggungjawab mengarah, membuat dan menyebarkan karikatur itu, saya tidak berdendam. Saya hanya berharap anda sedar bahawa politik bukan pentas sarkas.
“Rakyat sedang menderita dan masa kita sepatutnya digunakan untuk mencari penyelesaian, bukan membuang masa menghina,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Gunung Semanggol.
Beliau turut menzahirkan komitmennya untuk terus bersama-sama rakyat tanpa mengira situasi dan akan terus bersuara walaupun wajahnya sering dijadikan bahan oleh pihak lawan.
“Buat pemimpin kerajaan negeri Perak yang ditunjangi Umno, suka atau tidak inilah kualiti yang ada pada Exco kerajaan daripada DAP ini. Letak sahajalah jawatan Exco jika anda ada maruah.
“Kerana rakyat akan sentiasa menilai dengan apa yang akibat yang dilakukan. Tidak mustahil disebabkan hal ini kalian akan ditolak oleh rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/6/2025











