
KOTA BHARU: PAS Kawasan Kota Bharu yakin mampu merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Keyakinan itu berdasarkan maklum balas serta tinjauan dilakukan terhadap penduduk di kawasan tersebut yang menyatakan hasrat untuk kembali berada di bawah pentadbiran kerajaan negeri.
Pemangku Naib Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Shaari Mat Yaman berkata, meskipun DUN Kota Lama kini diwakili pembangkang, namun kerajaan negeri tetap menyalurkan sumbangan dan perkhidmatan kepada rakyat di kawasan itu.
“Walaupun kita tiada ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) di sana, kerajaan negeri tetap beri peruntukan tahunan kepada ADUN PH (Pakatan Harapan) untuk melaksanakan program bersama rakyat.
“Namun, jika DUN Kota Lama ini diwakili ADUN kerajaan negeri sendiri, sudah tentu lebih banyak khidmat dan peruntukan boleh diberikan terus kepada rakyat,” katanya.
Tambah beliau yang juga ADUN Bunut Payung, kerajaan negeri tidak pernah menganaktirikan DUN Kota Lama, malah terus melaksanakan pelbagai agenda rakyat seperti biasa.
Mengulas kekalahan PAS di kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos 2023 lalu, beliau berkata ia berpunca daripada jangkaan kemenangan besar yang diraih di peringkat Parlimen Kota Bharu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2022.
“Ramai pengundi tidak pulang mengundi kerana yakin DUN Kota Lama akan dimenangi. Bahkan pengundi tempatan juga ramai tidak keluar mengundi atas faktor keyakinan terlalu tinggi.
“Bukan sahaja di DUN Kota Lama malah juga di DUN Bunut Payong dan kawasan-kawasan lain di Kelantan,” jelas beliau yang menurutnya, kekalahan di DUN Kota Lama hanya dengan majoriti tipis sebanyak 202 undi.
Tambahnya, bagaimanapun perkembangan semasa menunjukkan sokongan anak muda kepada PAS dan Perikatan Nasional (PN) semakin meningkat.
Beliau juga menegaskan usaha untuk menawan semula DUN Kota Lama akan diteruskan melalui program parti, sesi lawatan dan pendekatan bersama rakyat yang konsisten sejak dahulu.
Sementara itu, mengulas isu bekalan air yang dibangkitkan ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim baru-baru ini, Shaari berkata penyelesaian menyeluruh sedang diusahakan kerajaan negeri dan dijangka tuntas menjelang 2027.
“Sebenarnya banyak usaha telah dilakukan untuk membantu rakyat termasuk di DUN Kota Lama. Masalah bekalan air kini jarang kedengaran berbanding sebelum ini kerana penambahbaikan yang dibuat secara berterusan,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa isu bekalan air bukan hanya ditangani secara menyeluruh di seluruh negeri, malah turut memberi kesan positif kepada penduduk DUN Kota Lama. – HARAKAHDAILY 3/6/2025











