Sembilan pesanan khusus untuk jemaah ibadah haji

Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Darul Mubarak Travel and Tours, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib mengingatkan jemaah haji Malaysia supaya menumpukan perhatian kepada ibadah wajib dan menjaga kesihatan untuk memastikan kelancaran perjalanan ibadah haji.

- Advertisement -

Beliau berkata, wukuf di Arafah merupakan rukun terpenting dalam ibadah haji dan menjadi ujian utama bagi jemaah yang memerlukan stamina dan kesabaran tinggi.

“Saya ingin kongsikan sedikit pesan buat jemaah haji, sebelum berangkat untuk menunaikan rukun terpenting ibadah haji iaitu wukuf Arafah kemudian kerja-kerja wajib haji iaitu bermabit di Muzdalifah, bermalam di Mina dan melontar Jamarat.

“Para jemaah haji akan bertolak ke Arafah sehari lebih awal iaitu Tarwiyyah 8 Zulhijjah. Antara pesan saya menjelang hari wukuf adalah cuba elakkan untuk buat ibadah sunat terlalu banyak seperti umrah sunat dan tawaf sunat.

“Elakkan juga membeli belah ketika cuaca panas atau berjalan terlalu jauh dari hotel penginapan. Stamina perlu dikekalkan pada tahap optimum ketika empat hari ibadah haji berturut-turut. Itu lebih utama,” katanya menerusi coretan di Facebook.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit berkata, para jemaah juga boleh melakukan tawaf sunat jika ada kesempatan sebelum masuk waktu solat fardu atau selepas solat mengikut kemampuan.

Menurut Ustaz Muhammad aismi, cuaca di Makkah ketika ini agak panas terutama pada waktu tengah hari di penghujung hari menjelang Wukuf di Arafah.

“Maka kurangkan perjalanan jauh ke Masjidil Haram untuk solat Zohor dan Asar. Jika Masjidil Haram dekat tiada masalah untuk pergi. Oleh itu, disarankan untuk bertolak ke Masjidil Haram selepas Asar kira-kira satu atau dua jam sebelum waktu Maghrib.

“Teruslah iktikaf di masjid dengan membaca al-Quran, berzikir, solat sunat dan rehat sementara menunggu Isyak. Pulang semula ke hotel untuk makan malam selepas solat Isyak. Pergi solat Subuh awal di Masjidil Haram.

“Sambung iktikaf sehingga usai solat Subuh dan waktu dhuha, berehatlah di bilik selepas waktu berkenaan. Zohor dan Asar solat berjemaah di maktab penginapan jika Masjidil Haram jauh dari hotel penginapan kita.

“Jangan paksa diri, ikut kemampuan dan ketahanan fizikal. Sesuaikan diri dengan keadaan cuaca yang panas, kering dan berdebu,” katanya.

Beliau turut meminta para jemaah agar mengambil masa tiga hingga lima hari untuk perbanyakkan rehat dan kurangkan aktiviti-aktiviti luar pada waktu siang sebelum bertolak ke Arafah, Mudzalifah atau Mina.

“Simpan dan kumpul tenaga supaya dapat digunakan sebaiknya untuk melaksanakan setiap rukun haji. Perjalanan dari khemah di Arafah untuk ke Mudzalifah dan melontar di Jamarat memerlukan kudrat fizikal serta kesabaran pada tahap paling besar.

“Ketika inilah ujian dan dugaan bakal menguji keimanan para Tetamu Allah. Kelengkapan khemah di Mina serta kemudahan fasiliti yang terhad akan menggugat keupayaan para jemaah untuk bersikap tolak ansur. Istighfar dan sabarlah.

“Hari pertama wukuf di Arafah biasanya kita amat kuat dan bersemangat, namun emosi akan luntur pada hari kedua kerana jarak untuk berjalan kaki yang jauh apatah lagi ketika itu perlukan stamina dan toleransi yang tinggi untuk menghadapi pelbagai karenah dan ujian,” katanya.

Mengenai kesihatan, beliau mengingatkan supaya jemaah mengambil ubat dan vitamin mengikut jadual serta menjaga pemakanan agar kekal cergas sepanjang ibadah di padang Arafah, Muzdalifah dan Mina.

“Anggota yang paling banyak digunakan adalah kedua-dua belah kaki yang dianugerahkan Allah. Maka jagalah kesihatan tubuh badan. Jangan abaikan rutin makanan berat yang telah disediakan oleh pihak Tabung Haji. Jemaah perlu untuk mengalas perut.

“Jemaah dinasihatkan tidak makan terlalu kerap dan banyak ketika ‘masyair haji’ iaitu di Padang Arafah, Muzdalifah dan Mina, kerana kemudahan tandas adalah terhad. Bawa kurma dan air zam-zam untuk dimakan ketika dalam perjalanan untuk mengalas perut.

“Sentiasa positif dengan fikiran terbuka. Usah merungut hotel yang jauh atau sebagainya. Ia adalah satu nikmat dan hikmah yang pasti akan menjadi kenangan paling manis hingga hujung usia.

“Berjalan beramai-ramai, berduyun-duyun mengejar waktu solat berjemaah ke masjid dan berhimpun bersama jemaah haji seluruh dunia pasti tidak terasa jauhnya langkah ke Masjidil Haram,” katanya.

Selain itu, beliau turut menasihati jemaah agar sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dengan memastikan mematuhi jadual dan program yang telah ditetapkan oleh pihak Tabung Haji.

“Di setiap penempatan ada disediakan tag nombor maktab, nama hotel, ambil dan simpan dalam beg agar memudahkan pencarian hotel penginapan andai tersasar arah.

“Jangan panik, pasukan polis bantuan Arab Saudi hampir di setiap penjuru sekitar Masjidil Haram sentiasa akan membantu para jemaah. Pihak Tabung Haji juga turut menyediakan pegawai-pegawai rondaan,” katanya.

Selain aspek ibadah dan kesihatan, Muhammad Ismi turut menekankan pentingnya aspek keselamatan diri dan barangan peribadi seperti jemaah hanya membawa wang saku yang perlu sahaja dan menyimpannya di ruang tersembunyi dalam pakaian.

“Jaga barangan peribadi seperti telefon bimbit. Gunakan beg yang telah disediakan bagi memudahkan pengenalan kumpulan jemaah mengikut agensi dan negara. Sentiasa berhati-hati dan berwaspada.

“Memandang dengan teliti pada setiap jejak langkah, pandang ke hadapan.. lihat di mana kaki bakal berpijak, jaga keselamatan diri dan kelengkapan kita, serta perhatikan juga ahli keluarga dan rakan-rakan. Elakkan membawa beg jenis yang berfesyen atau terlalu besar di sepanjang pergerakan.

“Oleh kerana ia tidak bersesuaian dengan keadaan jemaah yang begitu ramai dan padat. Beg besar biasanya tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam masjid, sebaiknya gunakanlah beg yang telah diberikan oleh Tabung Haji atau agensi kerana ia lebih praktikal,” katanya.

Tambah beliau, jemaah haji Malaysia terkenal dengan sikap berdisiplin dan sabar, namun mereka tetap perlu bersedia dengan pelbagai cabaran seperti ditolak, dihimpit atau dilangkah ketika tawaf, saie dan melontar.

“Usah terikut-ikut dengan nafsu amarah dan hasutan syaitan jika dihimpit, ditolak, disiku dan dirempuh ketika melontar, tawaf dan saie. Apalagi dilangkah oleh jemaah untuk berebut saf solat. Ini adalah budaya dan tingkah laku biasa jemaah dari negara lain.

“Kemudahan pengurusan perkhidmatan terbaik pastinya akan diberikan oleh pihak Tabung Haji dan agensi walaupun tidak sempurna sepenuhnya. Maka, jaga lidah, mata, telinga dan yang penting sekali jagalah hati.

“Hati terdetik, mencaci, menghina, malah hari ini jari yang pekak dan bisu lebih tajam bicaranya di WhatsApps dan Facebook. Ibadah yang kita kejar akan menjadi sia-sia, amat rugi,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Ismi menggalakkan para jemaah untuk melazimi zikir dan doa, khususnya zikir ma’thur yang diamalkan Rasulullah SAW ketika haji.

“Doa senjata utama kita. Berdoa dan mohonlah kepada Allah SWT pada waktu dan peluang yang telah Allah berikan ini.

“Manfaatkan sebaiknya agar dipermudahkan setiap urusan, dikurnia kesihatan yang baik dan berpanjangan, dimakbulkan setiap hajat dan impian mengejar haji yang mabrur, Insya-Allah. Semoga bermanfaat,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/6/2025

- Advertisement -