Hampir 2,000 sertai Himpunan Perodua Perlis

- Advertisement -

KANGAR: Himpunan Hari Perodua Perlis sempena sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Raja Perlis berjaya menghimpunkan hampir 2,000 pemilik dan peminat kenderaan jenama Perodua dari seluruh negara.

- Advertisement -

Majlis diserikan dengan kehadiran kepimpinan negeri antaranya Pengerusi Jawatankuasa Sukan dan Belia, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan, Abu Bakar Hamzah.

Ketua Polis Negeri, DCP Datuk Muhammad Abdul Halim turut hadir bagi menyatakan sokongan terhadap program komuniti automotif terbesar pernah dianjurkan di negeri ini.

Acara empat hari yang dikenali sebagai Himpunan Perlis Perodua Day 2025 itu berlangsung dari 29 Mei di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra dan acara penutup berlangsung di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad, di sini kelmarin.

Menyemarakkan lagi kemeriahan program, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan berangkat ke lokasi acara.

Baginda turut meluangkan masa meninjau kenderaan-kenderaan Perodua yang telah diubah suai secara kreatif oleh para pemilik, mempamerkan reka bentuk dan aksesori unik dan luar biasa.

Program ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti Perodua Auto Show, persembahan artis dan pempengaruh tempatan.

Juga pesta jualan makanan dan minuman, Rumah Hantu Soopa Doopa, petting zoo, serta kaunter bayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Tidak ketinggalan, program derma darah turut dianjurkan sebagai usaha menyemai semangat prihatin dan kebersamaan dalam kalangan peserta dan pengunjung.

Penganjuran himpunan ini dilihat bukan sahaja menyemarakkan semangat cintakan negeri bahkan turut memperkasakan pelancongan domestik melalui pendekatan berasaskan komuniti. – HARAKAHDAILY 3/6/2025

- Advertisement -