Pengerusi ASEAN peluang Malaysia tangani Myanmar

Ahmad Tarmizi Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 perlu menjadikan kumpulan serantau itu sebagai medan dalam menyelesaikan krisis berpanjangan yang berlaku di Myanmar.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, krisis itu telah memberi beban bukan sahaja kepada rakyat Myanmar, tetapi telah merebak ke seluruh negara anggota ASEAN termasuk Malaysia.

“ASEAN Summit yang berlangsung baru-baru ini penting untuk digerakkan seluruh delegasi ASEAN ini bagi dengan seriusnya membincangkan bagaimana Myanmar sepatutnya menerima cadangan.

“Ataupun langkah-langkah yang telah pun ditekankan oleh pihak antarabangsa termasuk ASEAN sendiri dan United Nations (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu),” katanya kepada Harakahdaily.

Jelas beliau, negara anggota ASEAN perlu memberikan kata putus dan menggesa Kerajaan Myanmar yang diperintah pihak tentera supaya menghentikan penindasan dan konflik dalaman melibatkan beberapa kumpulan etnik untuk tidak lagi berperang.

“Walaupun gencatan senjata yang dikatakan berakhir pada 31 Mei, namun ia tidak cukup untuk ASEAN menekan supaya pihak junta tentera melanjutkan lagi gencatan senjata itu sehingga tempoh yang lebih panjang.

“Bagi memanggil semua kumpulan-kumpulan etnik di Myanmar itu untuk berunding dan kembali ke meja rundingan serta menamatkan konflik di negara itu, termasuk kumpulan etnik yang paling teruk ditindas iaitu Rohingya di wilayah Rakhine.

“Sudah puluhan tahun mereka ditindas, diusir. Apatah lagi ketika ini di wilayah Rakhine itu, konflik di antara beberapa kumpulan termasuk Arakan Army sangat-sangat memberi kesan besar kepada hal kemanusiaan etnik Rohingya itu,” ujarnya.

Beliau yang juga Naib Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPGM) bagi Dasar Pelarian menegaskan bahawa prinsip ASEAN untuk tidak mencampuri urusan dalaman negara anggota sama sekali tidak relevan dalam isu tersebut.

“Soal tidak mencampuri urusan negara lain itu tidak boleh difahami secara umum bahawa kita tidak ada tanggungjawab untuk melihat apa yang sedang berlaku di negara luar itu sebagai bukan tanggungjawab kita.

“Persoalan yang besar adalah isu Myanmar itu telah pun melanda ratusan ribu rakyat yang menjadi pelarian dan masuk ke negara Thailand, masuk ke Malaysia, masuk ke Indonesia. Jadi tidak lagi mengatakan ini bukan hanya krisis atau masalah dalaman Myanmar.

“Ini sudah menjadi masalah ASEAN dan ASEAN berhak untuk campur tangan, apatah lagi soal kemanusiaan yang melanda. Ini soal hak asasi manusia yang telah dimeterai oleh ASEAN dan United Nations itu sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/6/2025

- Advertisement -