
SERDANG: Kerajaan perlu memberikan sokongan penuh terhadap sektor pertanian tempatan dengan menaikkan peruntukan bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang disifatkan masih terlalu rendah berbanding keperluan semasa negara.
Ketua Portfolio Komoditi dan Perladangan Perikatan Nasional (PN), Bakri Jamaluddin berkata, peruntukan R&D dalam belanjawan negara ketika ini hanyalah sekitar satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Peruntukan R&D dalam Belanjawan Negara adalah sangat rendah iaitu sekitar satu peratus sahaja dari KDNK. Sepatutnya perlu dipertingkatkan sekitar lebih tiga peratus dari KDNK,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Bakri yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu berkata, gesaan itu dibuat susulan perkembangan positif dalam penyelidikan benih jagung bijian oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang berpotensi menghasilkan sehingga lima hingga enam tan sehektar.
“Walaupun lima hingga enam tan sehektar ini boleh dianggap baik tetapi ia masih dibawah pencapaian jagung Suwan dari Thailand yang boleh mencapai lapan hingga 10 tan sehektar yang di tanam di Thailand.
“Jagung Suwan asal Thailand ini mencatat hasil yang rendah sekitar tiga tan sahaja ditanam di Malaysia disebabkan cuaca dan iklim yang berbeza,” katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka.
Beliau berkata, langkah meningkatkan peruntukan R&D bukan sahaja penting untuk memperkukuh sekuriti makanan, tetapi juga bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan asas seperti jagung bijian.
“Statistik menunjukkan negara mengimport sekitar dua hingga empat juta tan jagung bijian bernilai RM3 hingga RM5.5 bilion setahun.
“Negara juga mensasarkan menjelang 2032 import jagung bijian dapat dikurangkan sebanyak 30 peratus atau 600,000 tan hingga 1.2 juta tan jagung bijian,” katanya.
Tambah beliau, jika benih tempatan MARDI dapat mengekalkan hasil enam tan sehektar secara konsisten, Malaysia memerlukan sekitar 100,000 hektar tanah bagi menampung keperluan untuk mencapai sasaran pengurangan import tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak MARDI atas komitmen dalam memperkukuh inovasi pertanian tempatan dan menegaskan bahawa pertanian bukan lagi sektor sokongan semata-mata.
“Kebanyakan jagung bijian yang ditanam di negara ini adalah datangnya dari luar negara seperti GWC, KWS, Golconda dan beberapa varieti lainnya.
“Saya sangat menghargai dan berbangga usaha MARDI dalam menghasilkan benih tempatan yang boleh mengeluarkan hasil sekitar lima hingga enam tan jagung bijian sehektar. Varieti jagung ini belum dijenamakan dan akan dilancar dalam waktu terdekat.
“Tahniah kepada team MARDI atas usaha berterusan memperkukuh sekuriti makanan negara melalui inovasi pertanian,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/6/2025











