
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menempelak Ahli Dewan Negeri (ADN) DAP Bilut, Pahang, Lee Chin Chen yang menggesa polis menghentikan siasatan terhadap Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong.
Siasatan dimaksudkan berhubung karikatur yang memaparkan Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria sebagai badut selepas beliau didakwa Kah Leong membuat kenyataan berunsur fitnah.
Menurut Tuan Ibrahim, gesaan ini adalah satu tindakan melampau dan tidak menghormati proses perundangan, seolah-olah DAP mempunyai kuasa untuk menghalang penjawat awam daripada melaksanakan tugas telah diamanahkan.
“Semakin hari, saya melihat Kerajaan Madani berkelakuan di luar tatakelola serta bertentangan prinsip yang mereka sendiri perjuangkan. Kerajaan hari ini seolah-olah merasakan mereka akan kekal berkuasa dan kebal daripada undang-undang.
“Bagai bapa borek, anak rintik, selepas Perdana Menteri secara janggal memohon imuniti terhadap satu kes saman sivil, terbaru kes ini pula,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Tuan Ibrahim turut mengulas alasan DAP bahawa karikatur tersebut merupakan bentuk ekspresi seni satira yang menyampaikan kritikan dan menyifatkan hujah dikemukakan itu sebagai satu alasan yang dangkal.
Kerana tegas Ketua Pembangkang Dewan Negeri Pahang itu, seni tidak seharusnya dicemari dengan mesej berunsur penghinaan, apatah lagi jika ia datang daripada seorang exco kerajaan terhadap lawan politiknya.
“Sebagai anggota kerajaan, beliau seharusnya membalas hujahan YB Razman dengan fakta dan penerangan yang berasaskan ilmu, bukan dengan penghinaan peribadi.
“Saya menasihatkan YB Lee Chin Chen agar sebagai seorang anggota dewan, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
“Beliau tidak sepatutnya mencampuri urusan siasatan pihak polis kerana sistem negara ini menjunjung pemisahan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman.
“Tindakan YB DAP ini wajar membuka mata rakyat Malaysia untuk menilai dan menolak politik sombong dan angkuh yang dibawa oleh DAP dan Pakatan Harapan,” tempelaknya.
Katanya, kerajaan hari ini perlu diberi pengajaran agar tidak lagi meneruskan budaya politik yang tidak matang serta tidak menganggap rakyat Malaysia boleh diperkotak-katikkan sesuka hati.
Rakyat pula serunya, perlu menginsafi impak apabila tersalah memilih kerajaan dan berazam untuk tidak mengulangi kesilapan pada masa akan datang. – HARAKAHDAILY 3/6/2025











