
KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan dikejutkan dengan pemergian seorang amilinnya, Muhammad Aizat Amni Sobri yang ditemui dan disahkan telah meninggal dunia di Markas PAS Wangsa Maju, di sini pagi tadi.
Allahyarham dikenali sangat meminati bidang multimedia dan telah berperanan dalam bidang tersebut dengan mengabdikan diri sebagai amilin yang berkhidmat selaku Pegawai Media Penerangan PAS Wilayah Persekutuan.
Beliau merupakan bekas pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Dar al-Abrar, Bentong, seterusnya melanjutkan pengajian ke Akademi Pendidikan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Gombak dalam Diploma Muamalat dan Kewangan Islam.
Muhammad Aizat pernah menyatakan hasrat untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di Universitas Islam Tazkia, Indonesia dalam bidang yang sama, namun akhirnya beliau memilih untuk menyambung pengajian di Universiti Geomatika Malaysia.
Menurut guru dan pensyarah yang mengenalinya, Allahyarham seorang yang sangat tinggi adab dan tidak lokek dengan senyuman serta tidak beralasan apabila diminta bantuannya dalam sebarang perkara, selain aktif dalam gerak kerja parti.
“Saya menjadi saksi bahawa Almarhum adalah seorang pelajar yang soleh, mempunyai bakat kepimpinan dan sangat suka berkhidmat, semoga semua menjadi amalan soleh yang akan dibawa bersama bertemu Allah SWT,” kata Pengetua Dar al-Abrar, Ustaz Roslan Md Esa.
Pensyarah KUIZM, Ustaz Mohd Farkhan Md Zin memberitahu, kali terakhir bertemu Aizat adalah pada Himpunan Pendidik PAS Wilayah Persekutuan pada minggu lalu di mana Allahyarham berkhidmat sebagai petugas unit media.
Jenazah tadi telah dimandikan, dikafankan dan disolatkan di Madrasah Nurul Muttaqin dan sedang dalam proses pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, di sini. – HARAKAHDAILY 3/6/2025











