
KUALA LUMPUR: Rakyat masih menanti laporan penuh berhubung insiden di Putra Heights yang dijanjikan akan dibentangkan sejak awal Mei lalu, namun sehingga kini belum ada sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh pihak berkuasa.
Pengarah Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff turut mempersoalkan kelewatan tersebut dan menuntut penjelasan daripada pihak Kerajaan Negeri Selangor serta agensi berkaitan.
“Ramai yang tidak sabar untuk melihat laporan penuh ini sebab mereka nak tahu apa punca sebenar berlakunya insiden Putra Heights. Namun sehingga hari ini dah lima kali minggu depan daripada tarikh sidang media Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari itu.
“Namun belum nampak lagi sebarang laporan penuh dibentangkan. Macam mana Menteri Besar boleh yakin menyatakan laporan akan dibentangkan minggu hadapan?” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Nurul Islam berkata, dua laporan sedang disediakan ketika ini oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari sudut jenayah dan pelanggaran undang-undang, serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dari aspek teknikal.
“Semalam dalam satu podcast, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan penuh oleh PDRM dan JKKP akan dibentangkan pada penghujung Jun 2025. Tangguh lagi. Banyak persoalan yang perlu kepada jawapan.
“Sebagai contoh betul ke terdapat kerja korekan dalam kawasan rizab Petronas dan syarikat kontraktor yang dilantik telah digantung lesen Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) ketika kelulusan diberikan oleh Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MPSJ)?
“Untuk makluman, saya pernah dedahkan sebelum ini bahawa syarikat pemaju projek Hong & Hong Homes Sdn Bhd melantik Pinterest Ventures Sdn Bhd sebagai kontraktor pembinaan. Namun siasatan mendapati Pinterest Ventures Sdn Bhd telah digantung lesen CIDB dia ketika kelulusan diberikan,” katanya.
Beliau mempersoalkan bagaimana MBSJ dan KUSEL yang merupakan agensi di bawah Kerajaan Selangor dan Menteri Besar Incorporated boleh meluluskan permit korekan kepada syarikat itu sedangkan syarat utama ialah memiliki lesen CIDB yang sah.
“Tak apalah kita faham Yang Amat Berhormat (Dato’ Seri Amirudin Shari) baru lepas selesai pemilihan parti dan berjaya menang kerusi Naib Presiden dengan undi tertinggi. Tahniah YAB.
“Kita faham YAB juga tengah kalut tengok Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dah mohon masuk PKR. Banyak dah bunyi Tengku Zafrul nak ganti YAB. Tapi kerja hakiki YAB kena buatlah,” katanya.
Nurul Islam menegaskan bahawa rakyat tidak kisah untuk menunggu, tetapi laporan yang akan dibentangkan kelak mestilah menyeluruh, telus dan menyentuh aspek ketidakpatuhan prosedur, bukan sekadar laporan teknikal semata-mata.
“Rakyat boleh sahaja menunggu. Mereka sanggup tunggu, tapi pastikan laporan ini menyeluruh termasuk sebarang ketidakpatuhan kepada prosedur memberikan kelulusan permit korekan oleh MBSJ dan KUSEL.
“Satu lagi YAB ada sebut menjawab pendedahan bahawa agensi Audit Kerajaan Persekutuan dan Audit Negeri dah masuk dan siasat KUSEL dan MBSJ?
“Jadi bila laporan ini akan dibentangkan? Ke tangguh juga macam laporan oleh PDRM dan JKKP? Selamat menjawab YAB Menteri Besar,” katanya.
Terdahulu, Amirudin Shari, dalam satu sidang media bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming menyatakan bahawa laporan insiden tersebut akan dibentangkan dalam tempoh seminggu oleh pihak polis.
Namun, selepas lebih lima minggu, laporan berkenaan masih belum disiarkan kepada umum. – HARAKAHDAILY 2/6/2025











