Sokong Menteri Agama tegas tolak promosi LGBTQ

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sekretariat Syubban (Pemuda) Persatuan Ulama Malaysia sebulat suara menyokong penuh ketegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menolak sebarang program mempromosikan gaya hidup songsang LGBTQ.

Pengerusinya, Dr Ainul Asyraf Lokman berkata, pihaknya amat prihatin dengan agenda cuba menormalisasikan perkara yang jelas bertentangan dengan fitrah dan ajaran Islam.

“Ini bukan isu remeh, tapi soal maruah dan hala tuju generasi!” ujarnya dalam kenyataan hari ini menyokong Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Menurut beliau, pelbagai usaha gigih dari pihak tertentu kini sedang giat dilakukan untuk memperluaskan ideologi yang asing dalam masyarakat, khususnya berkaitan identiti dan orientasi seksual.

“Ia bukan sekadar perbezaan pandangan, tetapi satu percubaan serius untuk merosakkan asas kekeluargaan dan struktur sosial yang telah sebati dalam budaya Timur dan ajaran Islam.

“Bagi kami, para syubban, isu ini melangkaui perdebatan hak asasi semata-mata. Ia adalah tentang mempertahankan maruah ummah dan kesucian agama daripada sebarang bentuk pencemaran ideologi. Kita takkan berdiam diri bila akidah kita dicabar!” tegasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa prinsip syariat jelas dalam isu itu, sambil memetik Surah al-A’raf ayat 80 hingga 81 berkenaan kaum Nabi Luth AS sebagai garis panduan abadi yang tidak boleh dicabuli walau atas nama apa sekalipun.

“Cukuplah al-Quran sebagai panduan, tak perlu ikut acuan luar!” tegasnya turut menambah, konsep rahmat dan kasih sayang dalam Islam tidak bermaksud membiarkan kemungkaran berleluasa, sebaliknya ia mendorong kepada tindakan membimbing dan menyelamatkan insan daripada terjerumus ke lembah kehinaan.

“Sikap tegas Menteri Agama dalam isu ini adalah cerminan kepada kasih sayang ini, iaitu kasih sayang yang menjaga dan melindungi masyarakat daripada ancaman moral. Demi umat yang kita sayang, kita takkan biarkan mereka terus tersesat!” ulasnya.

Katanya lagi, toleransi umat Islam adalah pada persaudaraan dan kemanusiaan, bukan pada penerimaan perbuatan yang diharamkan.

“Islam mengajar kita untuk memberi ruang kepada bimbingan dan pemulihan, bukan normalisasi. Baginda Rasulullah SAW juga telah mengingatkan.

‘Barangsiapa di antara kalian melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Jika dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Jika dia tidak mampu juga, maka dengan hatinya, dan itu adalah selemah-lemah iman.’” katanya memetik hadis riwayat Muslim.

Tegasnya, pendirian mereka bukan membenci individu, tetapi menolak perbuatan bertentangan dengan fitrah dan syariat, serta memastikan ruang untuk kembali kepada kebenaran sentiasa terbuka.

“Oleh itu, Sekretariat Syubban Persatuan Ulama Malaysia bukan sekadar menyokong, malah mendokong penuh tindakan pantas dan tegas Menteri Agama dalam membendung sebarang program yang berunsur promosi LGBTQ.

“Ini adalah tanggungjawab strategik kita bersama untuk menjaga kesucian agama dan kemurnian akhlak masyarakat.

“Kami, generasi muda, adalah aset utama negara dan pewaris legasi ini. Kami tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk ideologi yang mampu merosakkan institusi keluarga dan nilai-nilai murni yang telah dibina. Sama-sama kita jaga masa depan agama dan negara!” jelasnya lagi.

Beliau turut menyeru seluruh masyarakat, khususnya rakan-rakan sebaya dan kepimpinan muda, untuk tampil proaktif mempertahankan nilai-nilai murni Islam.

“Marilah kita bersatu padu, memperkukuh jati diri Islam kita, dan memastikan generasi akan datang terpelihara daripada anasir-anasir songsang yang cuba merosakkan tunjang utama masyarakat.

“Dengan berpegang teguh pada syariat Islam, kita akan sentiasa berada di jalan yang benar dan diredhai Allah SWT,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/6/2025

- Advertisement -
- Advertisement -