Kerajaan digesa tegas banteras agenda LGBTQ+

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sekretariat Melayu Berdaulat (SMB) mendesak Kerajaan Madani mengambil tindakan lebih tegas dalam membanteras agenda LGBTQ+ yang cuba dinormalisasikan dalam negara.

SMB menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator  Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar, yang menasihatkan agar program ‘Pridecare: Queer Stories and Sexual Health Awareness’ dibatalkan serta-merta.

“Malaysia adalah sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, sebarang usaha untuk menormalisasikan gaya hidup songsang seperti LGBTQ+ adalah bertentangan dengan nilai agama, budaya dan norma masyarakat Malaysia,” ujar kenyataan itu.

SMB menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan membawa masuk agenda LGBTQ+ melalui saluran program kesihatan atau kesedaran seksual, sambil menegaskan bahawa agenda kesihatan tidak boleh dijadikan topeng untuk menghalalkan budaya songsang.

“Kegiatan menormalisasikan LGBTQ+ ini juga sangat bertentangan dengan prinsip Rukun Negara kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan yang berteraskan nilai ketimuran dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia,” jelas kenyataan itu lagi.

Sebagai langkah serius, SMB memaklumkan telah membuat laporan polis terhadap penganjuran program terbabit serta mana-mana pihak yang terlibat, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

“Tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan usaha membanteras gejala ini dapat dilaksanakan secara berkesan.

“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, agar berpegang teguh kepada prinsip agama dan tidak berkompromi terhadap sebarang usaha licik yang cuba merosakkan struktur moral masyarakat. Cegah sebelum parah,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/6/2025

- Advertisement -
- Advertisement -