Mohon imuniti: Tiada siapa kebal undang-undang

Najib pernah gagal guna alasan kekebalan

CREATOR: gd-jpeg v1.0 (using IJG JPEG v62), quality = 82?
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menyifatkan kenyataan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri (Setpol Kanan PM), Datuk Seri Shamsul Iskandar Akin berhubung permohonan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendapatkan kekebalan bersyarat daripada Mahkamah Persekutuan sebagai mengelirukan dan menyimpang.

Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kenyataan itu tidak mengambil kira bahawa salah satu isu utama dalam permohonan rujukan ke Mahkamah Persekutuan berkenaan saman sivil oleh Muhammed Yusoff Rawther terhadap Perdana Menteri adalah mengenai persoalan kekebalan.

“Isu yang dibangkitkan ialah sama ada, di bawah Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang Perdana Menteri yang sedang memegang jawatan menikmati kekebalan terhad daripada tindakan sivil berhubung dakwaan perlakuan peribadi yang berlaku sebelum pelantikannya.

“(Dan) sekiranya penerusan litigasi sedemikian akan menjejaskan keupayaan beliau untuk melaksanakan fungsi Eksekutif dengan berkesan dan menggugat doktrin pengasingan kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PN kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu, turut membandingkan permohonan itu dengan kes saman sivil pada 2017 hingga 2019 melibatkan Datuk Seri Najib Razak yang disaman Ahli Parlimen DAP, Tony Pua, berhubung dakwaan salah guna kuasa berkaitan 1MDB.

“Mahkamah Persekutuan pada 19 November 2019 memutuskan bahawa Perdana Menteri adalah ‘pegawai awam’ dan boleh disaman atas tindakan salah guna kuasa.

“Kes ini turut menetapkan suatu duluan (precedent) penting bahawa seorang Perdana Menteri tidak kebal daripada sesuatu tindakan sivil atau tort jika berkaitan penyalahgunaan kuasa awam, apatah lagi tindakan yang bersifat peribadi.

“Dengan kata lain, tiada seorang pun warganegara, termasuk Perdana Menteri, harus berada di atas undang-undang dan tiada sebarang kedudukan boleh digunakan sebagai perisai undang-undang untuk tindakan peribadi,” ulasnya.

PN menurutnya menegaskan keyakinan bahawa Mahkamah akan bertindak secara bebas dalam menjalankan peranannya tanpa menghiraukan campur tangan politik, kekebalan istimewa mahupun cubaan menggunakan kedudukan awam sebagai perlindungan daripada proses undang-undang.

“Justeru itu PN sebagai juru bicara rakyat akan terus memantau perkembangan kes ini khususnya dan akan terus menyuarakan kebimbangan rakyat agar prinsip keadilan tidak dikompromi demi kepentingan mana-mana tokoh politik, tidak kira dari pihak kerajaan mahu pun pembangkang,” katanya. – *HARAKAHDAILY 1/6/2025*

- Advertisement -
- Advertisement -