
KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai hasrat untuk mengajak dua menteri kerajaan, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, menyertai gabungan itu.
Bagaimanapun, kedua-dua menteri berkenaan tidak dihalang untuk menyokong PN dalam kapasiti mereka sendiri, demikian kata Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Ahli Parlimen Kota Bharu yang juga Setiausaha Agung PAS itu ditemui pada satu sidang media di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menerima memorandum bantahan terhadap Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) Kerajaan Madani.
Terdahulu, beliau menerima memorandum yang diserahkan oleh Pemuda PAS Kota Bharu yang menyatakan penolakan terhadap RUU URA berkenaan disampaikan Ketua Pemuda PAS, Marwan Husin.
Menurut Takiyuddin, meskipun tiada pelawaan rasmi dibuat, PN tidak menghalang sekiranya kedua-dua pemimpin tersebut ingin menyatakan sokongan atau bersama dengan gabungan itu di Parlimen.
“Setakat ini, PN tidak berhasrat untuk mengajak mereka menyertai PN. Namun, jika mereka mahu bersama kita di Parlimen, itu tiada masalah. Malah, jika mereka mahu sertai PN, itu atas mereka sendiri,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 1/6/2025











