Pemilihan PAS cerminan budaya penuh amanah

- Advertisement -

HULU SELANGOR: PAS tidak pernah mengamalkan budaya politik wang atau sebarang cagaran kewangan untuk menjadi calon ketika pemilihan parti berlangsung, baik dari peringkat Cawangan hinggalah ke peringkat Pusat.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun berkata, perkara sama juga berlaku ketika pilihan raya, di mana pencalonan hanya diputuskan oleh pimpinan parti di peringkat Negeri dan Pusat, dengan tapisan akhir dibuat oleh Majlis Syura Ulamak PAS.

“Walaupun Pilihan Raya Umum (PRU) hampir tiba ketika waktu pemilihan parti, kami akan teruskan juga. Kecuali sekiranya berlaku ketika betul-betul hampir sangat dengan PRU, kita tangguhkan seketika.

“Menang kalah adalah adat pertandingan. Berkempen juga adalah perkara biasa. Namun jauh sekali calon-calon yang bertanding akan berkempen untuk mengangkat dirinya sendiri,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau.

Tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor, tiada tempat disisi perwakilan buat individu yang meminta jawatan atau mahu menjadi calon di dalam parti.

“Dalam erti kata lain pasti tewas. Memegang jawatan itu adalah amanah yang cukup berat, oleh sebab itulah tiada istilah berkempen untuk diri sendiri. Inilah PAS yang akan akur atas apa juga keputusan pimpinan selagi mana tidak melanggar syariat Allah SWT,” ujarnya.

Hasnizan dalam pada itu memaklumkan beliau sendiri tidak mengetahui sama ada pihak Cawangan akan mencalonkannya untuk jawatan yang sama pada pemilihan parti akan datang atau sebaliknya.

Jelasnya, ia kerana urusan berkenaan merupakan hak di peringkat Cawangan untuk mencadangkan mahupun menentukan, sambil menegaskan beliau sama sekali tidak akan berkempen untuk diri sendiri.

“Inilah keindahan dalam PAS yang saya rasai yang mana satu ketika dulu saya pernah duduk dalam parti lain yang telah saya tinggalkan lebih 20 tahun yang lalu,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/6/2025

- Advertisement -